Kurang 30 peratus syarikat bayar cukai - PM
Bilangan syarikat yang membayar cukai masih rendah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Hasil 2024 di Cyberjaya, hari ini.
Katanya, daripada 1.5 juta syarikat berdaftar di Malaysia hanya sekitar 435,000 syarikat sahaja yang membayar cukai.
"Ini bermakna kurang daripada 29 peratus sahaja syarikat berdaftar yang membayar cukai," kata Anwar.
Anwar berkata hal itu ekoran asas cukai negara yang rendah iaitu sekitar 11.2 peratus daripada KDNK, berbanding negara jiran lain seperti Singapura (12.6%) dan Thailand (16.4%).
"Dengan asas yang rendah, bilangan syarikat yang membayar cukai pun relatifnya rendah.
"LHDN perlu memastikan (kutipan) hasil yang lumayan dan hasil itu kalau diikat dengan konsep negara Madani, tata kelola yang baik, pengurusan yang cekap, mengelak ketirisan, pembaziran dan rasuah. Pulangan itu (diberikan semula) kepada negara dan rakyat," katanya.
Terdahulu, Anwar merasmikan sambutan tahunan Hari Hasil 2024 LHDN di Menara Hasil di Cyberjaya, hari ini.
Untuk rekod, tahun lalu, Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) mencipta sejarah kutipan cukai negara dengan kutipan sebanyak RM183.34 bilion, melebihi RM7.8 bilion atau 4.49 peratus daripada jumlah kutipan 2022.
Manakala, sehingga 31 Dis 2023, jumlah pembayar cukai individu adalah sebanyak 5.7 juta dengan hasil kutipan RM40.96 bilion dan bagi syarikat pula sebanyak 539,113 dengan hasil kutipan RM98.77 bilion.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai