Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Muhyiddin rayu Mahkamah Persekutuan bebaskannya dari tuduhan

Muhyiddin Yassin memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan kes salah guna kedudukan untuk suapan RM232.5 juta bagi parti Bersatu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Dia memohon perintah supaya dibebaskan daripada empat pertuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Peguam bekas perdana menteri daripada firma guaman Chetan Jethwani itu memfailkan notis rayuan ke mahakamah tertinggi negara, semalam.

Rabu lalu panel tiga hakim yang dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara dalam membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwa raya selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin.

Dua lagi hakim terdiri daripada Hakim Azmi Ariffin dan SM Komathy Suppiah.

Bercakap bagi pihak panel tiga hakim yang bersidang, Hakim Hadhariah Syed Ismail memutuskan bahawa pertuduhan terhadap Muhyiddin adalah jelas dan tidak kabur.

Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin ketika melepas dan membebaskan pada 15 Ogos tahun lalu memutuskan bahawa pertuduhan salah guna kuasa itu adalah cacat dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, pertuduhan itu tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai dakwaan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Hakim menegaskan antara kekurangan kejelasan mengenai empat pertuduhan itu ialah sama ada Muhyiddin dituduh membuat keputusan yang menyalahi undang-undang atau menggunakan kedudukannya secara menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang belum selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada Mac tahun lepas, di hadapan Mahkamah Sesyen, Muhyiddin minta dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta yang dikaitkan dengan Jana Wibawa.

Empat pertuduhan salah guna kuasa itu, dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduhnya menggunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara Mac 1, 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfpuaa) - dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama .

Ahli politik berusia 77 tahun itu didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk Bersatu menerima RM125 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity - antara 25 Feb 2021 hingga 8 Julai 2022.

Tuduhan itu tidak mendakwa bahawa pembayaran dibuat kepada Muhyiddin.

Wang itu didakwa digubah dengan menerima wang yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu.

Pengubahan wang haram adalah kesalahan menyamarkan aset kewangan supaya ia boleh digunakan tanpa pengesanan aktiviti haram yang menghasilkannya.

Melalui pengubahan wang haram, hasil monetari yang diperoleh daripada aktiviti jenayah diubah menjadi dana dengan sumber yang sah.

Kes terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Mac ini.

[Baca berita asal]