Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Kehilangan paksa: Rakan Amri beritahu pegawai SB agar bercakap benar

Rakan lama kepada mangsa kehilangan paksa, Amri Che Mat berkata dia mengingatkan seorang pegawai Cawangan Khas (SB) supaya memberitahu perkara sebenar sepertimana pesan Nabi Muhammad SAW.

Pengasas bersama Perlis Hope, Mohammad Faisol Abd Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi mengenai mesej WhatsApp yang dihantarnya kepada pegawai SB Perlis, Mohd Shamzaini Mohd Daud.

“Ia adalah hadis daripada Nabi tentang bercakap benar walau apa pun, itu sahaja yang saya hantar,” kata Faisol kepada pesuruhjaya kehakiman Su Tiang Joo semasa perbicaraan saman keluarga Amri terhadap polis dan kerajaan persekutuan berhubung kehilangan aktivis itu.

Isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin ketika inkuiri Suhakam memberitahu pada tengah malam 24 Nov 2017, dia dikunjungi Shamzaini yang memberitahunya bahawa polis terlibat dalam kehilangan pengasas Perlis Hope itu.

Bagaimanapun semasa inkuiri yang sama pada 2018, Shamzaini mendakwa dia sanggup bersumpah dengan al-Quran menafikan dia memberitahu Norhayati bahawa polis bertanggungjawab atas kehilangan itu.

Faisol dalam keterangannya di mahkamah hari ini berkata dia mendengar daripada pengusaha kedai, Saiful Afdzan bahawa Amri dikejar sekumpulan individu yang menaiki kenderaan pacuan empat roda dan motosikal pada malam kejadian di kawasan antara Kangar dan Padang Pesar.

Faisol mendakwa dia menjejaki Saiful pada 2018, selepas dia dimaklumkan oleh Norhayati mengenai pengakuan Shamzaini kepada wanita itu.

Faisol menjelaskan bahawa dia mendengar daripada Saiful bahawa Saiful sedang menutup kedainya pada malam kejadian apabila dia melihat beberapa kenderaan mengelilingi kereta Amri, dan sekumpulan individu misteri tiba-tiba mengheret aktivis itu keluar dari keretanya.

“Pada malam dia (Saiful) menutup kedai, dia ternampak pikap (pacuan empat roda) dan motosikal mengerumuni kereta Amri, dan mereka (kumpulan individu yang dikaitkan dengan kenderaan berkenaan) menarik Amri keluar, dan dia cuba mengekori mereka, tetapi kemudian dia melihat seseorang (daripada penculik) mengacukan pistol, dan dia terus berlari ke dalam (kedai),” kata Faisol.

Bagaimanapun, Faisol mengakui bahawa dia tidak dapat menjejaki Saiful lagi selepas itu, manakala Saiful didakwa telah menutup kedainya dan berpindah ke tempat lain.

Perbicaraan di hadapan Su akan disambung semula pada 20 Mac.

Mahkamah juga menetapkan 11 Mac untuk pengurusan kes berkenaan permohonan Norhayati untuk mendapatkan akses terhadap laporan pasukan tugas khas yang diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 berhubung kehilangan Amri.

Pada 3 April 2019, inkuiri awam yang dijalankan Suhakam menyimpulkan bahawa Amri dan paderi Raymond Koh, yang masing-masing hilang pada 2016 dan 2017, adalah mangsa kehilangan secara paksa.

Panel tiga anggota sebulat suara membuat kesimpulan bahawa pelaku terbabit adalah anggota Cawangan Khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Keluarga Koh juga mengemukakan saman terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan paksa paderi itu.