Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Remaja tanpa kerakyatan terjerat hutang lepas bersalin

Selepas berdepan kemungkinan kehilangan hak penjagaan anak sulung yang baru dilahirkan akibat tidak mampu membayar kos rawatan di hospital, seorang ibu remaja tanpa kewarganegaraan kini bergembira sudah boleh berada di rumah bersama anaknya.

Namun pertemuan semula ibu dan anak itu bagaikan pengalaman manis sekali gus pahit. Hal itu kerana ibu muda terbabit sedang terbeban dengan jumlah hutang yang sangat besar untuknya.

Demi membayar kos yang dikenakan oleh Hospital Lahad Datu, remaja itu terpaksa meminjam wang daripada pihak yang memangsakan masyarakat dengan 'membantu' bersama kadar faedah 100 peratus.

Pihak hospital sebelum ini mendakwa, mereka bukanlah menahan bayi terbabit daripada dibawa keluar kerana bayaran tidak dibuat. Sebaliknya, pengurusan hospital memberitahu anak remaja berkenaan ditahan kerana sedang menjalani rawatan akibat jangkitan.

Bagaimanapun saksi memberitahu Malaysiakini, pasangan muda etnik Bajau Laut itu kelihatan mengangis di Hospital Lahad Datu akibat tidak mampu membayar bil untuk membawa bayi mereka keluar dari hospital.

“Mereka tidak ada wang, sebab itulah mereka tidak mahu pergi ke hospital dan merancang untuk bersalin di rumah.

"Namun posisi bayi yang mungkin berada dalam kedudukan songsang memaksa mereka untuk segera bergegas ke hospital.

“Selepas mengeluarkan RM500 untuk membolehkan si ibu keluar dari hospital, mereka tidak mampu membayar caj tambahan RM700 untuk membawa bayi mereka pulang,” kata saksi terbabit.

Ada isu jangkitan, jaundis

Pasangan tersebut dan saksi yang memberikan maklumat kepada Malaysiakini enggan identiti mereka didedahkan kerana takut akan berdepan gangguan atau tindakan daripada mana-mana pihak berkuasa.

Pada tahun lalu Malaysiakini mendokumentasikan kes-kes ibu tanpa kewarganegaraan yang kehilangan - atau hampir kehilangan - hak penjagaan anak secara di luar kerelaan.

Pada 2020, seorang ibu remaja dari kampung yang sama dengan ibu muda tadi membunuh diri. Siasatan dalaman hospital menunjukkan remaja terbabit bertindak begitu kerana bimbang hilang hak penjagaan ke atas anaknya, selain tertekan dengan jumlah bil hospital.

Seorang bekas ketua kampung mendakwa ibu-ibu tanpa kewarganegaraan mula menjauhkan diri daripada hospital semasa mahu melahirkan bayi masing-masing sejak kejadian bunuh diri oleh remaja terbabit.

Apabila dihubungi, jurucakap Hospital Lahad Datu menyatakan, tuduhan bahawa bayi itu “ditahan” sehinggalah bil RM700 dilunaskan adalah palsu dan tidak berasas.

Jurucakap itu memberitahu ibu terbabit dibenarkan pulang malah diberi diskaun atas bilnnya. Pada akhirnya ibu berkenaan hanya diminta membayar RM500.

Namun bayi terbabit terpaksa ditempatkan ke unit rawatan rapi neonatal kerana paru-parunya mengalami jangkitan dan dia sendiri menghadapi penyakit kuning (jaundis) neonatal.

“Bayi tersebut memerlukan oksigen, diberi antibiotik dan dipantau oleh seorang doktor pakar selama lapan hari.

"Dia dibenarkan pulang pada 15 Feb lalu selepas keluarganya membuat bayaran RM500.

“Tuduhan bayi itu ditahan kerana ibu pesakit tidak mampu membayar bil hospital adalah palsu sepenuhnya dan tidak berasas kerana hospital memberikan rawatan kepada pesakit tanpa mengira latar belakang mereka,” kata jurucakap itu.

Bil keseluruhan untuk si ibu ialah RM3,805 manakala bayinya RM2,060.

Hutang kian bertambah

Mereka tidak menikmati subsidi perkhidmatan kesihatan yang diberikan kerajaan sebaliknya dikenakan "bayaran warga asing" kerana tidak mempunyai kewarganegaraan.

Ketika melahirkan anaknya pada Jan lalu, ibu muda dari etnik Bajau Laut itu baru berusia 18 tahun manakala suaminya 20 tahun.

Tanpa dokumen dan kewarganegaraan, keluarga muda itu hidup dengan pendapatan kira-kira RM30 sehari yang diperolehi pihak suami sebagai upah bekerja sebagai buruh di pasar tempatan.

Lelaki terbabit berkata, kesukaran untuk membayar bil hospital telah merencatkan kegembiraannya menjadi seorang bapa kerana dia bimbang terpaksa menanggung hutang daripada 'jerung' pinjaman sepanjang hayatnya.

Ketika ini jumlah hutang mereka sudah melebihi RM6,000. Selain melibatkan bil hospital mereka juga perlu melunaskan hutang kepada pemberi pinjaman yang mengenakan kadar faedah melampau.

'Jerung pinjaman' itu menuntut pembayaran tunai setiap hari.

"Kegagalan untuk membuat pembayaran boleh menyebabkan hutang mereka bertambah," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini melalui seorang penterjemah, pasangan itu menceritakan bagaimana perasaan mereka berbaur ketika diberitahu terdapat komplikasi pada kehamilan.

Keadaan itu menyebabkan ibu muda terbabit tidak dapat melahirkan anak di rumah seperti yang dirancang.

Ibu remaja itu tinggal di atas bot berdekatan pantai Semporna di timur Sabah sebelum berpindah ke Lahad Datu lima tahun yang lalu. Dia tidak fasih berbahasa Melayu.

Suaminya agak lebih fasih namun sukar untuk menjelaskan keadaan dirinya dalam situasi yang lebih kompleks menyebabkan rayuan mereka untuk mendapat kelonggaran tambahan semasa menjelaskan bil hospital tidak dapat disampaikan dengan baik.

Dibenarkan keluar tiga hari selepas melahirkan melalui pembedahan caesarean, ibu muda tersebut berkata dia berjalan ke hospital setiap hari agar dapat merawat bayinya di unit rawatan intensif neonatal (NICU).

Suaminya berkata dia pergi ke hospital untuk menjelaskan bil isteri dan anaknya dengan membawa wang RM500, tetapi dalam pecahan not RM1, RM5, dan RM10.

Ia merupakan kutipan daripada sumbangan jiran-jiran dan pemberi pinjaman.

Bagaimanapun, katanya, bayaran tersebut ditolak kerana bil berkenaan berjumlah RM700.

Katanya, melalui penterjemah, mereka merayu kepada jabatan pendapatan hospital untuk memberikan diskaun tambahan namun ia tidak diterima.

"Pegawai hasil menegaskan bahawa mereka hanya boleh menerima jumlah yang dinyatakan kerana bil tersebut telah diberi diskaun yang besar," kata penterjemah mereka kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]