Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Perang terhadap Rusia satukan parlimen Ukraine

Pencerobohan berterusan Rusia ke atas Ukraine telah menyatukan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk berjuang bersama mempertahankan kebebasan dan kedaulatan negara mereka.

Perbezaan ideologi antara parti dalam parlimen masih kekal, namun ancaman kepada negara membawa sokongan bersama untuk kepimpinan presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.

"Apabila pencerobohan skala penuh telah bermula, dan apabila Kyiv hampir dikepung di sini, kami semua menjadi satu," kata Ivanna Klympysh-Tsintsadze, seorang ahli parlimen pembangkang dari parti Solidariti Eropah.

Dia berkata ahli Parlimen pembangkang telah membuat pengisytiharan rasmi menyokong Zelenskyy pada 24 Feb 2022, yang merupakan tindak balas segera terhadap percubaan pertama Rusia menawan ibu kota Ukraine, Kyiv.

Bermula dengan kemasukan Rusia ke Kyiv yang menyaksikan pertempuran sengit dengan tentera Ukraine di Irpin dan Bucha - dua kawasan paling teruk diserang di Ukraine Barat, dengan bukti kemusnahan masih kekal sehingga kini selepas dua tahun.

Semasa usaha membina semula kediaman dan bangunan komersial yang rosak akibat peluru berpandu dan artileri Rusia dijalankan, pihak berkuasa tempatan menyatakan kerja-kerja pembaikan tidak akan dilakukan di Jambatan Irpin - yang dibom tentera Ukraine pada 25 Feb 2022, untuk menghalang kemaraan ke Kyiv dari Irpin.

Sebuah jambatan baru dibina merentasi Sungai Irpin di kampung Romanivka, pada November tahun lalu, tetapi struktur yang musnah di sebelahnya akan kekal sebagai tugu peringatan.

Di Bucha, satu lagi tugu peringatan dibina di sekitar medan perang dalam hutan yang kini menjadi tempat persemadian orang awam dan tentera yang terbunuh, gambar mereka dipaku pada pokok-pokok yang dikelilingi ucapan solidariti, bunga dan bendera Ukraine.

Kedua-dua kawasan itu diduduki sementara oleh tentera Rusia sebelum ditawan semula oleh tentera Ukraine.

"Sebaik sahaja kami menang ke atas negara kami, ada kemungkinan kami akan berlawan hebat dalam politik," kata Klympysh-Tsintsadze kepada sekumpulan wartawan yang mengambil bahagian dalam lawatan yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Media Krisis Ukraine.

"Ketika pencerobohan bermula, suara kami bersatu dalam semua isu, termasuk isu yang memerlukan undi di parlimen.

“Dua bulan pertama, tidak ada rang undang-undang yang akan diundi jika ada sebarang bantahan sedikitpun dari mana-mana pihak. Semuanya dilakukan secara konsensus," katanya.

Tekanan antarabangsa jadi keutamaan

Menurut Klympysh-Tsintsadze, keutamaan bagi Ukrainekini adalah mendapatkan lebih banyak bantuan ketenteraan dari Amerika Syarikat (AS), serta melobi sokongan antarabangsa bagi membolehkan PBB mengenakan sekatan perdagangan terhadap Rusia.

Ia di samping usaha dua hala untuk menghentikan pembelian minyak dan gas dari Rusia, tambahnya.

Pada 18 Feb, BBC melaporkan bahawa Presiden AS Joe Biden memberi jaminan kepada Zelensky bahawa bantuan ketenteraan berjumlah USD60 bilion akan dihantar, sementara menunggu undian akhir kongres.

Ahli Parlimen kerajaan penggal pertama, Oleksandr Merezhko dari parti Servant of the People, berkata ahli Parlimen pembangkang diletakkan dalam kedudukan yang sukar semasa perang.

“Tetapi saya sangat menghormati pembangkang atas banyak sebab.

"Salah satunya ialah kita semua dari parti pemerintah, kita tidak pernah menjadi ahli parlimen.

“Dan kita banyak belajar daripada pengalaman pembangkang,” katanya.

Parti Merezhko, yang dinamakan sempena siri televisyen Ukraine yang dibintangi oleh Zelenskyy, ditubuhkan menjelang pilihan raya umum Ukraine pada tahun 2019 dan berjaya menjadi parti pemerintah tunggal, memenangi 240 daripada 450 kerusi di parlimen.

Sementara itu, barisan pembangkang pula terdiri daripada empat parti politik dengan baki 210 kerusi.

"Yang bagusnya ialah kami semuanya bersatu ketika berdepan dengan ancaman Rusia. Dan apabila menyentuh isu-isu utama atau dasar luar negeri seperti keahlian EU, keahlian NATO, dan sebagainya. Kami sepenuhnya bersatu," kata Merezhko.

Mengulas lanjut, Merezhko berkata perbahasan di parlimen telah dijalankan semula tahun lepas, menggambarkan perkembangan tersebut sebagai tanda positif terhadap kembalinya 'kebiasaan' dalam demokrasi.

"Kadang-kadang kami menghadapi masalah dengan budaya politik tetapi saya anggap kebanyakan ahli parlimen pembangkang sebagai rakan sejawat, sebagai rakan saya, dan kami mempunyai tujuan bersama. Kami perlu melakukan segala yang mungkin untuk bertahan.

"Saya percaya bahawa beberapa isu sepatutnya ditangguhkan sehingga kempen pilihan raya di mana kami boleh mula 'menyerang' satu sama lain," katanya sambil menambah, "tetapi sebelum kemenangan, kita harus tetap bersatu."

Tiada persoalan terhadap keabsahan Zelenskyy

Ukraine kini masih diletakkan di bawah undang-undang ketenteraan dan walaupun tempoh rasmi Zelenskyy sebagai presiden dijadualkan berakhir pada Mei, pilihan raya belum boleh diadakan.

Klympysh-Tsintsadze, bagaimanapun, berkata semua parti politik telah bersetuju bahawa pilihan raya umum seterusnya hanya boleh diadakan sekurang-kurangnya enam bulan selepas undang-undang ketenteraan dihapuskan.

"Saya tidak fikir anda akan mendengar dari mana-mana parti pembangkang bahawa kami akan meragui keabsahan Zelenskyy selepas Mei," katanya.

"Ada beberapa sentimen mengenai begaimana nak pastikan bahawa suara semua orang didengar dalam situasi di mana pilihan raya tidak mungkin diadakan.

"Tetapi anda tidak akan mendengar sebarang persoalan mengenai keabsahan presiden, kerana kami tidak dapat mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil," katanya.

Semalam menandakan tahun kedua atau 730 hari sejak pencerobohan Rusia. Dilaporkan Zelenskyy menyampaikan ucapan kepada negara itu dari Lapangan Terbang Hostomel di mana pemimpin Eropah juga hadir sebagai tanda sokongan.

Antara lain, dia menegaskan bahawa perang akan berakhir dengan syarat diletakkan Ukraine sebagai negara yang merdeka.

Rakan sekutu utama Ukraine terdiri daripada Amerika Syarikat, United Kingdom, dan negara-negara di seluruh Eropah, manakala Rusia menerima sokongan daripada beberapa negara termasuk Korea Utara dan Iran.