Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Projek ECRL: Penduduk Gombak Utara rancang fail injunksi

Sekurang-kurangnya 13 wakil penduduk kampung dan penempatan di Gombak Utara bersama-sama NGO merancang akan memfailkan injuksi mahkamah bagi menuntut jajaran pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dialihkan.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Mohd Zai Mustafa berkata pihaknya akan mendapatkan seramai mungkin tanda tangan penduduk, wakil penduduk, NGO, pakar sejarah dan ahli akademik bagi menyokong injunksi itu.

"Kita sepakat pada dua minggu yang lepas wakil 13 kampung bahawa jajaran ECRL ini mesti dialihkan daripada kawasan ini kerana ia melibatkan lebih ribuan rakyat terjejas.

"Kita bertegas bahawa sekiranya pihak-pihak yang berkepentingan dalam projek ini tidak memberi kepuasan hati kepada penduduk, kita dah bincang dengan peguam-peguam, ribuan rakyat dan ratusan NGO akan membuat injunksi di mahkamah," katanya kepada pemberita di sidang media di Gombak Utara, petang tadi.

Sidang media itu dianjurkan oleh Sekretariat Selamatkan Tanah Warisan, bertema "Selamatkan Tanah Warisan Melayu Islam Gombak Utara daripada jajaran ECRL dan KL-Node Highway”.

Turut hadir, ahli akademik dan pakar sejarah Zaharah Sulaiman serta wakil penduduk kampung-kampung sekitar Gombak Utara termasuk wakil Kampung Orang Asli.

Mohd Zai berkata bahawa pihak kerajaan negeri dan persekutuan perlu mengalihkan projek ini kerana ia akan dibina merentasi tanah rizab Melayu, kampung warisan dan tanah adat Orang Asli.

"Ada kampung di sini dulunya dicadangkan sebagai tapak warisan dunia Unesco. Ada kampung berusia lebih 130 tahun.

"Kalau kampung-kampung berusia 60 hingga 70 tahun nak dijadikan sebagai tapak warisan dunia, yang ini mesti diberi perhatian," katanya.

Katanya, penduduk berkenaan membuat rayuan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar melawat kampung-kampung tersebut.

"Datanglah ke kampung ini, bertemu dengan penduduk kampung ini. Kami nak beritahu apa sebenarnya berlaku di kampung ini.

"Apa yang kita dapati, bahawa tindakan-tindakan pihak yang merobohkan rumah dan mengambil alih tanah, adalah secara sewenangnya. Penduduk tidak dimaklumkan secara rasmi," katanya.

Mohd Zai juga berkata bahawa penduduk sekitar Gombak Utara tidak membantah projek ECRL tetapi kerajaan perlu adil kepada semua pihak.

"Kita faham projek ECRL ini projek impak tinggi kepada negara. Tetapi, impak tinggi telah menyebabkan orang Melayu hilang rumah dan tanah," katanya.

Sebelum ini, beberapa penduduk daripada 16 kampung di sekitar Gombak Utara yang ditemui Malaysiakini memberitahu mereka sentiasa berjaga-jaga sejak projek pembinaan ini dimulakan.

Penduduk kampung tempatan, ketika ditemui menyuarakan kebimbangan bahawa mereka kini hidup dalam ketakutan.

Mereka mendakwa pembinaan projek kereta api mega yang merentangi Semenanjung Malaysia telah mengakibatkan banjir kilat serta merosakkan premis dan kediaman.

Menurut Adun Gombak Setia Hilman Idham, penduduk di kawasan itu tidak membantah projek ECRL, namun kesal dengan kerajaan negeri.

"Bagi mereka pembangunan itu mestilah merupakan pembangunan berkualiti yang dapat menjamin kelestarian, kesinambungan dan kehidupan rakyat.

"Justeru, hari ini kita berasa kesal apa yang berlaku pada hari ini ia seolah-olah kerajaan negeri melepaskan tanggungjawab.

"Kerajaan negeri sepatutnya menjadi perantara di antara rakyat dan pemilik, kontraktor projek ini," katanya.