Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Nelayan Sg Ular gelisah disekat muara cetek

Sejak kira-kira setahun lalu, nelayan tradisional di perkampungan Sungai Ular, dekat Kuantan, Pahang terpaksa memendam rasa.

Mereka yang sebelum ini boleh turun ke laut seawal jam 4 pagi, kini terpaksa menunggu sehingga air pasang untuk boleh membawa bot masing-masing melepasi muara sungai.

Bahkan ada yang mendakwa mereka terpaksa mengikat bot di pesisir pantai pada waktu malam kerana tidak dapat membawa masuk bot ke jeti kerana paras air terlalu cetek.

Mohamad Azam Zakaria, 62, berkata masalah muara sungai cetek itu berpunca daripada kegiatan mengambil pasir dan kini menyukarkan kira-kira 200 nelayan mencari rezeki.

"Pihak yagn terbabit mengambil pasir itu seolah-olah, apabila habis kerja dan dah dapat apa yang dia nak, mereka tinggalkan kesan yang mengganggu kami keluar masuk muara.

"Kami ini dahlah 'bercuti wajib' ketika Monsun Timur Laut, dan sekarang apabila nak mula kerja kita (turun ke laut) masalah di muara pula cetek.

"Kita nak berdepan pula dengan hari raya, bulan puasa lepas itu anak nak masuk sekolah jadi dari segi mata pencarian kita memang terganggulah," katanya ketika ditemui di tepi jeti kampung Sungai Ular, dekat Kuantan, semalam.

Mohamad Azam Zakaria

Mohamad Azam turut memaklumkan kebanyakan pemilik bot terpaksa melabuhkan bot mereka di tengah laluan air sementara menunggu air pasang sebelum membawa masuk ke jeti.

Seorang lagi nelayan, Zakaria Daud, 65, memberitahu komuniti nelayan di situ juga terpaksa menanggung kerugian apabila peralatan menangkap ikan mereka rosak akibat masalah sama.

"Bot kami ada yang pernah rosak kerana tersangkut pada tinggalan binaan projek melombong pasir di situ.

"Ada kipas bot rosak, perahu tenggelam pun pernah berlaku. Jadi, banyak masalah yang kami kena hadapi.

"Kadang-kadang jam 2-3 pagi kena tidur dalam bot di tengah laut sebab nak balik tak boleh, muara pun dah macam tak ada di sini," katanya.

Zakaria Daud

Justeru kata Zakaria antara jalan mengatasi masalah itu yang difikirkan wajar dibuat ialah menggali semula kawasan cetek di muara tersebut agar perjalanan mereka keluar masuk menjadi mudah.

Bagi peraih ikan, Mohamad Rosliza Remeli, 44, isu muara cetek di perkampungan nelayan Sungai Ular turut memberi kesan kepada bekalan ikan segar kepada pelanggan.

Dia berkata, jika sebelum ini mereka menunggu nelayan membawa ikan ke jeti, tetapi sekarang mereka perlu turun ke pesisir pantai untuk mengambil ikan dari bot nelayan.

Mohamad Rosliza Remeli

"Ada kos tambahan jugalah sebab kena beli ais untuk bawa ke sini dan bawa naik ke darat sebelum ke pasar.

"Tapi kami fahamlah sebab kalau nak tunggu bot masuk ke jeti, mungkin sampai petanglah sebab sekarang kita boleh nampak mana ada air.

"Mereka pun kena tunggu air pasang juga baru boleh masuk ke jeti, jadi lambat baru boleh bawa ikan untuk dijual," katanya.


Baca Muara cetek: JPS tunggu peruntukan kecemasan


Mohd Tajul Ariffin Muda, 44, yang sudah lebih 20 tahun menjadi nelayan turut meluahkan rasa kesal dengan apa yang sedang berlaku di situ.

"Apabila semua pasir yang ditimbun di sini sudah habis turun, paip konkrit semua memang bermasalah kepada kami-nelayan.

"Nak keluar pun tak lepas, betul-betul kena tunggu air pasang, itupun kena tunggu air pasang 2 meter ke atas, kalau tak memang tak lepas nak keluar," katanya.

Mohd Tajul Ariffin Muda

Dia turut mengakui pernah berdepan kerosakan bot sejak projek pasir dijalankan di situ.

Katanya, bot miliknya pernah bocor kerana terlanggar tinggalan paip konkrit daripada aktiviti pengambilan pasir berhampiran muara sungai berkenaan.

"Macam-macamlah pengalaman, bot tersadai sebab bocor dan tersangkut kerana paras air terlalu cetek.

"Saya cuma fikir bagaimana nak selesaikan masalah ini kerana tidak lama lagi kita dah nak buka sekolah, bulan puasa dan banyak nak guna duit," katanya.

Dah 10 tahun

Sementara itu, Adun Beserah, Andansura Rabu, ketika dihubungi memaklumkan perkara itu sudah dibawa kepada perhatian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang.

"Saya difahamkan mereka (JPS) pun sudah turun ke sana melihat perkara itu.

"Mereka memberi komitmen untuk mencari jalan untuk menyelesaikan masalah terbabit, termasuk memohon peruntukan segera.

"Jadi, saya fikir JPS kena ambil perhatian masalah ini dan tidak membiarkan masalah itu ditanggung oleh nelayan," katanya.

Andansura turut memberitahu isu dihadapi warga nelayan di perkampungan Sungai Ular sudah berlarutan sejak sekian lama dan belum menunjukkan sebarang jalan penyelesaian bersungguh-sungguh oleh pihak berkaitan.

"Dia tak boleh sekadar korek pasir sahaja, sepatutnya kena buat satu projek besar termasuk membina benteng.

"Ini kerana muara Sungai Ular panjangnya dari Gebeng hingga ke situ. Itu sebabnya apabila musim tengkujuh, kawasan Sungai Ular turut terkesan dengan banjir.

"Cadangan lama untuk mendalamkan sungai itu bagi mengatasi kesan banjir dan memudahkan nelayan keluar masuk ke muara.

"Benda ini kita dah cerita sejak 10 tahun lalu, namun tidak ada penyelesaian yang tuntas.

"Sepatutnya apabila JPS atau kerajaan negeri meluluskan projek pasir, mereka boleh minta pengusaha mendalamkan sekali sungai dan muara sungai di situ," jelasnya.