Isytihar harta: SPRM beri tempoh 30 hari lagi pada Mokhzani
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh lanjutan selama 30 hari lagi kepada anak Dr Mahathir Mohamad, Mokhzani untuk mengisytiharkan hartanya kepada agensi antirasuah itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan Mokhzani telah memohon secara rasmi untuk melanjutkan tempoh berkenaan.
“Mokhzani telah mengemukakan permohonan lanjutan tempoh pengisytiharan harta.
"SPRM telah membenarkan tambahan 30 hari," kata Azam kepada Scoop .
Jumaat lalu, Azam mengesahkan agensi antirasuah itu memberi tempoh selama 30 hari lagi kepada adik Mokhzani, Mirzan untuk mengisytiharkan hartanya.
Azam berkata, ini selepas ahli perniagaan itu meminta tempoh tambahan untuk mematuhi perintah yang dikeluarkan kepadanya dan Mokhzani mengikut Seksyen 36 Akta SPRM, yang memerlukan mereka mengisytiharkan harta dalam tempoh 30 hari.
Tempoh notis asal sepatutnya tamat pertengahan bulan ini.
SPRM memanggil Mirzan dan Mokhzani untuk disoal siasat bulan lepas, walaupun asas sebenar siasatan mereka tidak jelas.
Pada 6 Feb lalu Azam berkata Mirzan dan Mokhzani boleh didakwa jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi itu.
Berikutan itu, kedua-dua beradik itu mengeluarkan kenyataan akhbar pada 8 Feb bagi meminta SPRM ‘bersabar’ dan mengatakan bahawa adalah mustahil untuk mengumpulkan maklumat selama 43 tahun.
Menurut Mirzan dan Mokhzani, SPRM telah meminta senarai aset sejak 1981, iaitu tahun pertama Mahathir dilantik sebagai perdana menteri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai