Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

'PAS hari ini dengan zaman Nik Aziz sama saja'

Bagi kebanyakan penyokong Pakatan Harapan (PH), zaman kegemilangan PAS ialah apabila Allahyarham Nik Aziz Nik Mat memimpin parti itu di bawah gabungan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, pemimpin PAS semasa berkata parti itu hari ini tiada beza dengan zaman Nik Aziz.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata di bawah kepimpinan Nik Aziz sebagai menteri besar, Kelantan meluluskan undang-undang 'hudud' pertamanya.

“Jangan lupa, pada zaman Nik Aziz hukum hudud diluluskan di Kelantan, 1993.

“Bila Nik Aziz sudah tiada, sudah meninggal dunia, kamu kata ‘Nik Aziz baik’.

“Tetapi pada masa itu (tahun 1993, anda berkata) ‘Apa hudud Nik Aziz dan semua ini?’,” katanya semasa dialog antara pemimpin PAS dan media Cina di Kuala Lumpur semalam.

Dia menjawab tanggapan bahawa sebelum 2015, ketika Nik Aziz masih bersama PAS, orang Cina dan bukan Islam yakin dengan PAS berikutan persepsi parti itu dipimpin oleh ulama yang "berfikiran terbuka".

Bagaimanapun, ini berubah selepas bekas menteri besar Kelantan itu meninggal dunia, dan PAS kemudiannya menyingkirkan golongan "profesional".

Mengulas mengenai perkara itu, Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali - yang turut hadir - berkata semasa Pakatan Rakyat, Nik Aziz hanyalah Mursyidul Am PAS.

“Presiden ketika itu siapa? Presiden yang sama (Abdul Hadi Awang).

"Beliau (Hadi) eksekutif, mursyidul am hanya penasihat, itu fakta," katanya.

Dr Halimah Ali (kiri) dan Presiden Gerakan Dominic Lau

Takiyuddin berkata perubahan persepsi terhadap PAS adalah propaganda politik semata-mata, dan bukan isu tentang nilai teras parti yang menurutnya kekal tidak berubah.

"Apabila kami bersama dalam Pakatan tiba-tiba kami semua baik. Tetapi apabila kami meninggalkan Pakatan... kami tiba-tiba menjadi budak jahat," katanya.

Dia juga menolak dakwaan bahawa PAS cuba menyekat hak bukan Islam, dengan memberi contoh bahawa orang bukan Islam di Kelantan masih boleh minum arak dan makan daging babi.

"Bak kut teh ada. Tak ada haramnya (dilarang jual). Saya boleh belanja kamu. Kamu mahu makan, saya boleh belanja. Tapi saya tak makanlah," katanya kepada wartawan Cina yang hadir.

Ahmad Samsuri Mokhtar

Begitu juga, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bahawa PAS tidak meninggalkan prinsip "PAS untuk semua" yang dipegangnya pada zaman Pakatan Rakyat.

“Satu cadangan yang baik untuk kita kedepankannya (PAS untuk semua) lebih kerap,” katanya.

Halimah menambah bahawa PAS akan "bercakap" mengenai PAS untuk semua.

Sementara Takiyuddin menambah PAS sedang mengkaji kemungkinan untuk memberi orang bukan Islam dalam Dewan Himpunan Pendukung PAS keahlian penuh dalam parti itu.

Keahlian penuh bermakna orang bukan Islam boleh memegang jawatan di luar sayap penyokong, dan juga mengundi dalam pemilihan parti.