Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Isteri Daim mohon mahkamah pulangkan pasport

Isteri bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin memohon mahkamah memulangkan pasport miliknya selepas ia ditahan berhubung kegagalannya mematuhi notis mengisytiharkan harta.

Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili Na'imah Abdul Khalid, mengesahkan permohonan semakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Pendengaran permohonan ini dijadualkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Jenayah) 1 pada Isnin minggu depan," kata peguam itu kepada Malaysiakini petang ini.

Pada 23 Januari lalu, Na'imah dibenarkan diikat jamin dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Wanita berusia 66 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan memberikan akuan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepadanya oleh pegawai SPRM berpangkat pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta-harta tersebut adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur.

Na’imah didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Dis 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

‘Tidak berisiko melarikan diri’

Pihak pendakwaan memohon agar pasport Na'imah diserahkan kepada mahkamah dan dia melaporkan diri ke pejabat SPRM yang terdekat sekali sebulan.

Bagaimanapun, peguam Mohd Yusof Zainal Abiden memohon ikat jamin sebanyak RM250,000.

Dia menegaskan tidak perlu syarat tambahan penyerahan pasport dan melaporkan diri ke pejabat SPRM yang terdekat kerana tertuduh telah menyatakan dengan jelas bahawa dia akan melawan tuduhan tersebut di mahkamah.

"Ini bukan kes melibatkan keganasan; oleh itu, dia tidak berisiko melarikan diri.

"Dia tidak akan pergi ke mana-mana, dia akan tinggal din sini untuk mempertahankan kesnya," kata Yusof.

Peguam bersama Na'imah, M Puravalen, memohon mahkamah agar tidak memberi syarat ikat jamin penyerahan pasport, kerana dia mungkin perlu membuat perjalanan ke luar negara dengan notis singkat untuk menemani suaminya, yang menghadapi masalah kesihatan serius.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan ikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Na'imah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kesnya selesai.

Azura juga menetapkan 22 Mac untuk sebutan kes tersebut.