Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Mahkamah tolak permohonan cabar keengganan Agong isytihar darurat

Seorang peguam gagal dalam permohonannya berhubung sama ada Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menolak permintaan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika itu untuk mengeluarkan pengisytiharan darurat empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak tindakan Syed Iskandar Syed Jaafar, dengan alasan isu itu bukanlah sesuatu yang mahkamah boleh campur tangan.

Wan Ahmad Farid memutuskan perkara itu membabitkan isu kabinet yang diberi kuasa mengikut perlembagaan untuk menasihati Seri Paduka dalam isu dasar dan keselamatan.

“Walaupun Perisytiharaan Darurat dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan), di bawah Perkara 40(1)(Perlembagaan), Seri Paduka Baginda hendaklah bertindak mengikut nasihat daripada kabinet.

“Mahkamah sentiasa menganggap perkara keselamatan mempunyai tekstur yang pelik.

"Kabinet, sebagai cabang eksekutif kerajaan, mempunyai maklumat risikan mengenai perkara keselamatan yang tidak dimiliki oleh mahkamah dan oleh itu, berada dalam kedudukan terbaik untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong," kata Wan Ahmad Farid.

Hakim itu menegaskan bahawa mahkamah secara amnya tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tindakan ke atas Seri Paduka ketika melaksanakan kuasa perlembagaan untuk mengisytiharkan Darurat, disebabkan klausa penyingkiran Perkara 150(8) Perlembagaan.

"Walaupun peruntukan perlembagaan berhubung klausa penyingkiran akan menyamai 'menutup pintu mahkamah' kelihatan keras dan tidak adil, remedinya terletak pada badan perundangan dan bukannya mahkamah," kata Wan Ahmad Farid.

Hakim itu tidak membuat sebarang perintah mengenai kos apabila menolak saman pemula Syed Iskandar.

Tindakan undang-undang Syed Iskandar adalah untuk meminta panduan mahkamah berhubung isu perlembagaan yang dikaitkan dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak mematuhi permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat pada 2020.

Pada 25 Okt tahun berkenaan, adalah dilaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong memutuskan untuk tidak bersetuju dengan permintaan Muhyiddin atas alasan bahawa kerajaan Perikatan Nasional ketika itu telah menangani pandemik Covid-19 dengan berkesan.

Perlu dimaklumkan bahawa kemudiannya pada 12 Jan 2021, Seri Paduka berkenan menerima nasihat Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat bagi menangani wabak tersebut. Darurat berkaitan pandemik itu berlarutan sehingga akhir tahun 2021.

Menerusi saman itu, Syed Iskandar memohon mahkamah untuk menentukan, antara lain, sama ada Seri Paduka "mempunyai budi bicara yang tidak terbatas untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun nasihat perdana menteri atau kabinet persekutuan adalah sebaliknya".

Plaintif juga mahu mahkamah menentukan perkara ini melalui peruntukan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan.

[Baca berita penuh]