Orang Asli terus bantah empangan Nenggiri
Lebih 3,000 Orang Asli Gua Musang di Kelantan tekad untuk meneruskan perjuangan menentang projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri yang telah mendapat kelulusan beberapa tahun lalu.
Mereka berkata projek itu akan menyebabkan kemusnahan terhadap sumber pendapatan mereka serta tautan budaya dan warisan mereka yang tidak boleh ditukar ganti.
Wakil masyarakat itu, Mustafa Along berkata walaupun projek itu tidak akan membawa kemusnahan secara langsung kepada banyak kampung di situ, kawasan bercucuk tanam, ritual dan kubur nenek moyang mereka akan musnah.
"Apabila empangan dibina, ia akan menyekat jalan utama dan kami tiada pilihan selain membuat perjalanan lebih jauh untuk ke pekan terdekat.
"Pada masa ini, perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam dan ia akan berganda apabila empangan menyekat jalan utama itu.
"Kami perlu belanja lebih untuk bahan api dan logistik," katanya kepada Malaysiakini.
Katanya lagi, penduduk tinggal di ratusan penempatan merentasi lapan zon yan terletak di sepanjang Sungai Nenggiri, iaitu Wias, Pasik, Gob, Simpor, Tohoi, Bihai, Angkek, dan Depak.
Sementara itu, Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) Hafizuddin Nasarudin berkata projek itu juga berisiko memburukkan konflik antara hidupan liar dan manusia.
Dia membangkitkan kes-kes gajah dan harimau liar menyerang kawasan tanaman Orang Asli di situ yang mengakibatkan kematian.
Projek itu pula akan memburukkan lagi isu tersebut memandangkan haiwan akan kehilangan habitat mereka, katanya lagi.
Risiko terhadap tapak sejarah
Hafizuddin turut menyuarakan kebimbangan risiko kemusnahan Gua Cha, di mana rangka manusia prasejarah ditemui sebelum ini.
"Fikirkan tentang nilai Gua Cha. Ia merupakan satu kehilangan besar kepada kita kerana projek itu akan memusnahkan gua itu," katanya.
Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia menemui rangka itu pada Jun tahun lalu, dan yakin ia mungkin berkaitan tamadun prasejarah di Lembah Nenggiri kira-kira 14,000 tahun lalu.
Penyelidik percaya rangka itu boleh dikesan kembali kepada tamadun prasejarah yang menetap di lembah Nenggiri kira-kira 14,000 tahun lalu.
Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas turut menyatakan kebimbangan yang sama tentang Gua Cha.
Katanya, dengan penemuan artifak sejarah yang begitu berharga, projek itu sepatutnya sudah lama dibatalkan.
"Lihat sahaja apa yang berlaku dengan Lembah Bujang," katanya lagi.
Pada 2013, media melaporkan tapak warisan abad ke-8 di Lembah Bujang, Kedah didakwa dimusnahkan oleh sebuah syarikat pemaju. Kerajaan Kedah pada masa itu menafikan tahu-menahu tentang perobohan itu.
Langkah ke hadapan
Projek empangan Nenggiri dijangka mula dibina pada Jun 2027 dan kedua-dua kumpulan Orang Asli dan NGO tersebut tidak berputus asa.
Hafizuddin berkata pihaknya telah giat membantu Orang Asli mengumpulkan dokumen dan bukti penempatan mereka bagi membuktikan masyarakat itu sudah lama menetap di kawasan itu dan ada hak untuk mempertahankannya.
Selain itu, dia berkata Kuasa sedang membantu dalam soal penyerahan memorandum dan surat kepada kerajaan pusat dan negeri.
"Kami juga mengadakan kempen awam untuk meningkatkan kesedaran," katanya.
Pada Ogos tahun lepas, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad berkata walaupun kerajaan tidak lagi akan membina empangan hidroelektrik besar, projek Nenggiri adalah di luar bidang kuasa persekutuan.
Mustafa berkata walaupun ramai Orang Asli memahami isu tersebut, masih ada segelintir yang masih belum sedar akan hak mereka untuk membantah projek itu.
"Ada yang takut atau tidak menyedari kesan projek itu terhadap mata pencarian mereka.
"Mereka yang bersetuju dengan projek itu pula merasakan tanah itu milik kerajaan,” katanya sambil menambah dia akan terus berusaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat itu.
Mustafa turut mempersoalkan mengapa kerajaan sanggup menyediakan peruntukan besar untuk projek itu berbanding menggunakannya untuk memulihkan hutan di Hulu Kelantan.
Usaha itu akan membantu mengurangkan konflik antara hidupan liar dan manusia di kawasan itu, katanya.
Katanya lagi, sementara projek masih belum dimulakan, pembersihan hutan yang dilakukan di kawasan itu telah pun membawa masalah kepada Orang Asli.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai