Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

15 wartawan M'sia sertai Jejak Serumpun sempena Pilpres Indonesia

Sekumpulan 15 wartawan Malaysia berpeluang menyertai program jejak serumpun anjuran Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Malaysia, bersempena pilihan raya presiden (PilPres) dan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia di Jakarta, bermula hari ini.

Peserta bakal didedahkan dengan salah satu sistem demokrasi terbesar di dunia dan dan menyertai siri dialog berkaitan pembangunan serta kemajuan Indonesia.

Presiden Iswami Malaysia Ashwad Ismail berkata, program itu juga akan membina keakraban bersama penggiat kewartawanan Indonesia sewaktu sambutan HPN.

“Kembara ilmu ini juga dilihat akan menjadi pertemuan dan dialog dengan mereka yang menjadi cerminan kepada kehebatan Indonesia. Contohnya, pemain industri ‘fintech’ ekonomi digital, sektor pembangunan lestari serta keupayaan mereka merakyatkan teknologi hijau.

“Dalam lanskap geopolitik dunia yang kian mencabar ini, wartawan Malaysia juga perlu didedahkan dengan usaha-usaha diplomasi ‘Track 2’ oleh pelbagai institut dan NGO di Indonesia yang mengangkat agenda kebersamaan antara rakyat di pentas Asean serta internasionalisme yang positif,” katanya ketika ditemui di KLIA, Sepang sempena pelepasan peserta program itu, hari ini.

Diplomasi 'Track 2' adalah istilah yang digunakan berhubung kegiatan diplomasi antara negara melibatkan pihak tidak rasmi, berbanding kerajaan.

Program Jejak Serumpun ini ditaja oleh Berjaya Corporation Berhad, Green Growth Asia Foundation dan vFive Group.

Kumpulan wartawan Malaysia akan mengikuti beberapa lawatan dan pertemuan bersama Iswami Indonesia yang diketuai presidennya, Asro Kamal Rokan.

Mereka juga dijadual mengadakan pertemuan bersama pimpinan media Indonesia dan agensi-agensi penting dalam mengukuhkan lagi hubungan dua negara.

Selain itu, ketua-ketua pengarang dari Malaysia akan turut menyertai delegasi Iswami ke program HPN 2024, acara tahunan yang mengumpulkan lebih 6,000 wartawan dari seluruh Indonesia.

HPN disambut 9 Februari setiap tahun tetapi sambutannya pada tahun ini ditunda pada 20 Februari berikutan berlangsungnya Pilpres 2024.

Untuk rekod, Iswami merupakan forum wartawan Malaysia-Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan hubungan media dua negara.