'Ramai lagi graduan kejuruteraan tempatan tak dapat kerja'
Cadangan untuk memberi kebenaran kepada graduan asing di universiti tempatan untuk bekerja dalam sektor teknologi tinggi baru-baru ini mengundang reaksi daripada pelbagai pihak termasuklah graduan-graduan kejuruteraan tempatan.
Rata-rata yang bercakap dengan Malaysiakini berkongsi sentimen agar graduan tempatan diutamakan.
Menurut mereka, masih ramai graduan yang mempunyai latar belakang dalam sektor pengajian teknologi tinggi belum mendapat kerja yang selari dengan bidang mereka, sementara yang lain terpaksa mencari kerja di dalam bidang yang lain.
Graduan kejuruteraan mekanikal, Nur Alia Najihah Mohd Rizani, 24 berkata cadangan membenarkan graduan asing untuk bekerja sementara adalah tidak adil kepada graduan tempatan.
“Graduan kejuruteraan lepasan universiti terkemuka ada ramai, kenapa perlu tenaga graduan asing? Kerajaan harus lampirkan data dan bukti tentang kekurangan bekalan tenaga mahir dalam kalangan graduan tempatan. Saya minta maaf, tetapi ini tidak adil,” katanya.
Dia yang sudah enam bulan cuba mencari pekerjaan di dalam bidang kejuruteraan merasakan memang sukar untuk mendapatkan jawatan dalam bidang berkenaan.
“Saya ada juga bertanya tentang maklum balas daripada pihak syarikat yang pernah saya mohon, mereka minta saya menunggu selama dua minggu kerana proses pemilihan masih dijalankan.
“Tetapi sampai sekarang tiada maklum balas. Macam memberi harapan pun ada,” luah graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu.
Dia juga berkata bahawa saingan untuk mendapatkan jawatan sebagai seorang jurutera terlalu sengit memandangkan ramai yang memohon.
Gaji permulaan rendah
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Muhammad Faris Mohd Noor pula memetik isu gaji permulaan jurutera yang rendah sebagai salah satu punca Malaysia kekurangan tenaga mahir.
“Hidup sebagai lepasan siswazah baru ini susah juga sebenarnya. Hasil carian saya paling rendah adalah RM2,000. Oleh itu, ramai graduan kejuruteraan baru kerja di luar bidang yang mereka pernah belajar,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia yang kini sedang bekerja sambilan sebagai penolong juruacara majlis itu berkata terdapat ramai majikan yang lebih memilih individu yang mempunyai pengalaman berbanding dengan pelajar lepasan ijazah untuk bekerja.
“Berdasarkan pengalaman saya ketika saya di latihan industri, terdapat seorang pekerja dilantik sebagai seorang jurutera kerana mempunyai pengalaman selama enam tahun walaupun tiada kelulusan, hanya mempunyai kelulusan SPM sahaja.
“Penyelia saya pula mempunyai kelulusan ijazah di dalam bidang tersebut dan sudah bekerja selama dua tahun tetapi gajinya masih kurang berbanding dengan pekerja yang hanya mempunyai SPM itu,” katanya.
Graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu juga mencadangkan agar pihak kerajaan melalui institut-institut pengajian tinggi di Malaysia menyediakan garis panduan pembelajaran seiring dengan permintaan industri.
“Kalau IPT dapat menyediakan panduan pembelajaran yang sesuai dengan keadaan industri sekarang, graduan yang akan dihasilkan akan lebih berkualiti serta bersesuaian dengan gaji yang diminta,” katanya.
Sukar cari kerja
Sementara itu, Mohamad Afiq Danial Mat Nasir, 24, turut berkongsi kepayahan mencari kerja dalam bidang kejuruteraan.
Dia yang berlatarbelakangkan jurusan kejuruteraan mekanikal itu berkata dia giat mencari kerja di kebanyakan platform kerjaya, namun masih tidak berjaya.
“Kebanyakkan job hunting saya ialah saya menghantar resume di LinkedIn, Jobstreet ataupun di alamat emel sahaja. Ada juga perlu sign up ke dalam laman web syarikat tertentu seperti ExxonMobil dan Petronas,” katanya pada Malaysiakini.
Graduan yang berusia 24 tahun itu juga memaklumkan kadangkala terdapat panggilan ke temu bual kemasukan kerja, namun belum berhasil setakat ini.
Graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang menetap di Pasir Mas, Kelantan itu juga mengakui agak sukar untuk mencari kerja sebagai seorang jurutera di negeri itu.
“Saya berada di Kelantan. Di sini jawatan jurutera tidak banyak apatah lagi untuk lepasan ijazah. Kebanyakan saya mohon adalah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor serta Johor.
“Saya juga hadir ke pameran kerjaya di negeri lain jika berkesempatan, alangkah bagus kalau kerajaan buat satu pameran kerjaya di Kelantan,” katanya lagi, sambil menaruh harap agar dapat bekerja dalam bidang kerjuruteraan suatu hari nanti.
Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata cadangan untuk membenarkan graduan asing institut pengajian tinggi (IPT) tempatan bekerja sementara di negara ini dalam bidang tertentu seperti sektor teknologi tinggi dapat menyemarakkan lagi sektor pendidikan Malaysia sebagai penjana pendapatan untuk negara.
Tengku Zafrul berkata, langkah membenarkan graduan warga asing IPT tempatan bekerja sementara di negara ini juga akan menjadikan industri tempatan mendapat bekalan tenaga mahir yang diperlukan ketika ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai