Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Jangan benar kenderaan asing isi RON95 - Fuziah

Semua pemilik stesen minyak sekali lagi diingatkan supaya tidak menjual petrol RON95 kepada kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asing.

Peringatan itu diberikan Timbalan Menteri Perdangangan Dalam Negeri, Fuziah Salleh ketika ditanya mengenai rakaman video kenderaan dipercayai dari negara jiran mengisi RON95 di Shah Alam, Selangor, yang tular awal bulan lalu.

"Kepada yang rakam dan viral video itu, KPDN ucapkan terima kasih.

"Cuma kalau boleh mereka juga buat aduan terus kepada KPDN supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pemilik stesen minyak terbabit," katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Terdahulu, Fuziah bersama pegawai penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Tahun Baharu Cina di sebuah pasar raya dekat Air Putih, Kuantan.

Sebelum ini tular sebuah stesen minyak di Rawang, Selangor menjual petrol bersubsidi kepada warga asing.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey dilaporkan berkata siasatan dijalankan pihaknya selepas menerima aduan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand mengisi RON 95 di stesen minyak terbabit.

Katanya, pemilik premis iaitu lelaki berusia lingkungan 40-an sudah diberi notis arahan bagi mengemukakan dokumen mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Fuziah dalam masa sama turut berkata, pengusaha stesen minyak sedia maklum arahan kerajaan hanya membenarkan kenderaan tempatan sahaja membeli RON95.

"Pemilik stesen minyak berkenaan sepatutnya boleh menghalang pembelian itu.

"Kalau mereka sendiri tak halang, kita boleh ambil tindakan terhadap pemilik (stesen minyak) terbabit," katanya lagi.

Pengusaha stesen minyak menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

Mengikut akta itu, pemilik stesen minyak terbabit berdepan penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali terhadap individu manakala perbadanan atau syarikat pula berdepan denda tidak melebihi RM2 juta.

Berdasarkan semakan, kerajaan menetapkan hanya kenderaan menggunakan nombor pendaftaran tempatan sahaja layak membeli RON95 sejak Ogos 2010.