Semak fakta: Jalur Gemilang juga ada pada persembahan naga tular
Persembahan tarian naga di Melaka pada 1 Februari lalu menjadi tular di media sosial, dengan ada beberapa hantaran yang mengaitkannya dengan soal kedaulatan membabitkan China.
Ia selepas rakaman pendek menunjukkan replika naga dengan panjang 200 meter disertakan dengan bendera China di sebelah kirinya, disebarkan oleh individu yang mempunyai ramai pengikut di media sosial.
Antaranya Ahli Parlimen Pasir Mas daripada PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang membangkitkan bendera China pada replika tersebut.
Namun, semakan mendapati Jalur Gemilang turut dipasang di sebelah kanan replika namun sisi tersebut tidak dipaparkan dalam rakaman itu.
Menurut laporan yang diterbitkan media milik kerajaan negeri, Melaka TV di TikTok pada 2 Februari lalu, persembahan itu sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomasi Malaysia dan China.
Ia melibatkan 170 murid sekolah warga Malaysia dan China yang berarak sambil mengangkat replika seberat 60 kilogram itu di sepanjang Jonker Walk.
Pecah rekod
Menurut Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Zaidi attan, acara itu dimasukkan dalam Malaysian Book of Records.
Murid dari China turut mempersembahkan satu lagi tarian tradisional. Begitu juga murid dari Malaysia yang mempersembahkan tarian tradisi masyarakat Portugis, yang merupakan sebahagian daripada warisan Melaka.
"Hubungan (antara China dan Malaysia) perlu dikukuhkan dan kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama ini," katanya ketika mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan China kerana menyertai acara itu.
Hantaran Fadhli berkenaan acara itu meraih lebih 900 komen dan 11,000 tontonan, sementara hantaran lain yang hanya memaparkan sisi replika dengan bendera China, telah ditonton 170,000 kali.
Di X, individu bernama Salim Iskandar mengongsikan rakaman itu dan diiringi dengan pertanyaan: "Ini kat Guangzhou kan? Sebab ada bendera China kan?"
Dia yang memiliki 11,400 pengikut di X itu juga menyifatkan perkara itu sebagai menyedihkan. Salim sememangnya dikenali dengan kandungan yang menyerang kerajaan Madani dan sekutunya.
Namun, tidak semua pengguna media sosial bersetuju dengan apa yang dibayangkan Fadhli dan Salim. Ramai yang turut mengkritik mereka kerana tidak menunjukkan bendera Malaysia pada naga tersebut, dan ada juga yang meminta mereka memadamkan hantaran kerana memberi gambaran yang salah.
Malaysiakini dan Faqcheck Lab adalah sebahagian daripada kerjasama pemeriksaan fakta Jomcheck.
Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada panggilan) atau melalui pautan ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai