Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

'Shafee langgar undang-undang dedah proses pengampunan Najib?'

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng meminta Lembaga Pengampunan agar menjelaskan jika peguam Muhammad Shafee Abdullah telah melanggar undang-undang ketika mendedahkan maklumat "sulit" berhubung proses permohonan pengampunan Najib Razak dalam sidang medianya semalam.

Lim berkata ini kerana Perlembagaan Persekutuan menggariskan secara jelas peranan Yang di-Pertuan Agong dan ahli lembaga tersebut.

Dia berkata pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan biasanya adalah sulit, namun Shafee semalam secara terbuka mendedahkan Yang di-Pertuan Agong membuat undian secara rahsia dengan mengagihkan kertas undi kepada ahli tidak tetap lembaga.

"Saya gesa Lembaga Pengampunan menyatakan dengan jelas dan tanpa syarat sama ada undang-undang kita membenarkan atau tidak Shafee menyatakan yang Agong 'merasakan untuk memberi' pengampunan penuh kepada Najib," kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Shafee Abdullah

Ketika sidang media semalam, Shafee menunjukkan surat dengan cap mohor Agong sebelum ini yang menunjukkan kemungkinan ada perbezaan pendapat antara Seri Paduka dan Lembaga Pengampunan berkaitan hukuman Najib.

Menurutnya, surat untuk menunjukkan yang Lembaga Pengampunan mencadangkan kepada Agong agar Najib menghabiskan hukuman penjaranya, namun Seri Paduka memutuskan agar hukuman penjara Najib dikurangkan separuh dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Shafee juga mendakwa Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu Najib diberikan pengampunan penuh, namun kemudian menjalankan undi secara rahsia untuk melihat reaksi empat ahli tidak tetap lembaga terhadap perkara itu.

Lim bertanya jika Shafee dibenarkan undang-undang untuk menyatakan secara terbuka yang Agong membuat undi tersebut ketika mesyuarat lembaga pada 29 Januari lalu.

"Seolah-olah Shafee ada dalam mesyuarat pada 29 Januari ketika Lembaga Pengampunan menentukan nasib Najib. Adakah Shafee diundang ke mesyuarat sebagai saksi, atau dia reka semua ini?

"Sekali lagi, saya benar-benar menggesa Lembaga Pengampunan dan badan berkaitan untuk menyatakan dengan jelas sama ada kenyataan yang dibuat Shafee betul atau tidak, dan jika tindakannya tidak melanggar undang-undang," katanya lagi.