KOLUM | Hari kekasih tentukan arah baru Indonesia
KOLUM | Ketika sebahagian daripada dunia menyambut Hari Valentine atau Hari Kekasih pada 14 Februari ini, Indonesia akan memilih ketua negaranya apabila pilihan raya umum diadakan pada tarikh itu.
Pemilu atau pemilihan umum itu turut menyaksikan pengundian bagi pelbagai jawatan awam, dari para anggota parlimen, gabenor wilayah hinggalah kepada peringkat desa.
Oleh kerana Indonesia adalah sebuah negara besar merentasi tiga zon masa dari Aceh ke Papua, sukar juga bagi seseorang hendak membayangkan betapa kompleksnya sistem dan proses yang perlu dilalui oleh negara jiran itu.
Sebagai republik, ketua negara Indonesia adalah presiden yang mempunyai kuasa eksekutif, bukan saja untuk melantik ketua kerajaannya, atau kabinetnya tetapi juga menentukan hala tuju negara, dalam segala bidang; politik, ekonomi, sosial dan budaya.
Maknanya sistem kepresidenan Indonesia adalah seperti Amerika Syarikat dan Perancis. Ia tidak seperti Singapura dan India yang mana presiden mereka, yang walaupun merupakan ketua negara tetapi adalah lebih merupakan sebagai lambang nasional dengan melakukan upacara dan acara perlembagaan.
Di sini perlu diulangi perbezaan antara ketua negara dan ketua kerajaan yang sering ditulis sebagai sama. Bagi Malaysia, ketua negara ialah Yang di-Pertuan Agong sementara ketua kerajaan ialah perdana menteri. Sementara di Singapura dan India, ketua negara adalah presiden dan ketua kerajaan adalah perdana menteri. Sementara bagi Indonesia dan Amerika Syarikat, ketua negara dan kerajaan adalah presiden.
Setiap negara mempunyai sistem politik yang unik. Seringkali seseorang akan melihat sistem politik negara lain menurut kaca mata dan pengalaman negara sendiri, yang sering boleh mendatangkan kekeliruan dan salah faham terhadap negara berkenaan.
Perbezaan istilah
Lebih-lebih lagi terhadap Indonesia yang juga menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaannya tetapi semua maklum bahawa istilah-istilah yang mereka gunakan adalah berbeza dan boleh mengundang salah faham.
Pertamanya, dalam bahasa Indonesia, maksud kerajaan itu berbeza. Di sana “government” itu diterjemahkan sebagai pemerintah. Kerajaan pula merujuk pada pemerintahan beraja atau monarki. Jadi, bagi mereka, Malaysia tentulah ada kerajaan, tetapi negara-negara republik hanya ada pemerintah. Dalam bahasa Melayu Malaysia; pemerintah merujuk pada “commander” atau komander dalam pasukan tentera. Tetapi dalam bahasa Melayu Malaysia ada perkataan “memerintah” dan “pemerintahan” yang berhubung dengan sifat kerajaan yang boleh diterjemahkan kepada “rule” dalam bahasa Inggeris. “Ruler” juga diterjemahkan sebagai pemerintah.
Kedua, dalam bahasa Indonesia, pilihan raya umum disebut sebagai pemilihan umum sementara pemilihan presiden dipanggil pilpres. Apabila presiden dipilih secara pilihan raya oleh rakyat secara langsung, ia dipanggil pilpres langsung.
Walaupun kemerdekaan Indonesia diisytiharkan pada tahun 1945, pilihan raya umum pertama hanya dapat diadakan 10 tahun kemudian. Pada tahun 1955 itu juga, Tanah Melayu mengadakan pilihan raya umum pertama walaupun masih belum merdeka.
Tetapi pilpres atau pemilihan presiden dilakukan oleh Parlimen. Dalam sejarah Indonesia, lima presiden dipilih cara ini. Mereka ialah Sukarno, Suharto, Habibie, Gus Dur dan Megawati. Pilpres langsung pertama diadakan pada tahun 2004 yang dimenangi oleh Susilo Bambang Yudhoyono. Beliau menang dua penggal. Begitu juga penggantinya, Jokowi, presiden sekarang.
Kali ini, buat pertama kalinya ada tiga calon iaitu Anies Baswedan, Ganjar Mahfud dan Prabowo Subianto. Jika tidak ada yang memperoleh bilangan undi yang ditetapkan, maka akan ada pilpres pusingan kedua untuk dua calon utama. Selepas itu, mereka akan disahkan oleh Parlimen dan Indonesia akan memperoleh presiden baru pada Oktober ini.
Saya lahir pada tahun 1959, ketika itu presiden Indonesia adalah Sukarno dan Perdana Menteri Tanah Melayu ialah Tunku Abdul Rahman. Tetapi apabila saya mula menaruh minat pada politik iaitu ketika tingkatan dua, pada tahun 1973, presiden pada waktu itu ialah Suharto dan perdana menteri Malaysia ialah Tun Razak
Minat saya terhadap politik Indonesia dicetuskan melalui sastera iaitu dari novel Keluarga Gerila oleh Pramoedya Ananta Toer dan Atheis oleh Achdiat K Mihardja. Kedua-duanya buku teks mata pelajaran sastera Malaysia. Tetapi saya bukanlah pelajar aliran sastera. Dari situ minat saya berkembang kepada sajak-sajak Chairil Anwar dan buku-buku ucapan Sukarno khususnya dua jilid tebal Di Bawah Bendera Revolusi yang terdapat di perpustakaan awam di bandar tempat saya membesar.
Sebagai remaja, adalah mudah untuk saya kagum pada Sukarno dan Revolusi Indonesia. Revolusi di sini bermaksud bukan saja memberontak tetapi nengubah secara radikal semua perkara sedia ada baik dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan budaya. Pengaruh Revolusi Indonesia juga besar kepada perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. Parti politik Melayu pertama yang dipelopori oleh Pak Sako (Ishak Haji Muhammad), Dr Burhanuddin Al-Hilmy dan Ahmad Boestaman iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dipengaruhi dengan pemikiran dan semangat Sukarno.
Namun begitu, pasca 1974 ketika saya mula rancak membaca buku-buku politik dan sejarah Indonesia, negara itu sudah melalui 10 tahun suatu revolusi kedua yang membenamkan hampir semua legasi pemikiran Sukarno. Presiden Suharto mengisytiharkan pemerintahannya sebagai Orde Baru (Orba) yang menghapuskan nasionalisme kiri, sosialisme dan komunisme.
Gerakan Reformasi 1998
Bagaimanapun, dari sudut pandangan seseorang anak muda kiri, Suharto hanyalah sebahagian daripada sekutu strategik Amerika Syarikat semasa Perang Dingin bagi memastikan dengan apa jua cara untuk mengalahkan Soviet Union walaupun melalui kekerasan dan pihak yang didokong merupakan seorang diktator atau autokrat. Dalam suasana itulah Indonesia juga digalakkan menakluk Timor Timur.
Sementara dari sudut anak muda Islamis pada sekitar 1980-an, Suharto pula dilihat sebagai penentang dan penghalang kebangkitan Islam. Sedangkan pada masa itu anak-anak muda sedang terdorong kepada pemikiran politik Islam ekoran Revolusi Islam di Iran.
Pemerintahan Suharto ini akhirnya tumbang dengan kekasaran melalui demonstrasi-demonstrasi para pelajar pada tahun 1998. Menurut ahli falsafah popular Indonesia, Rocky Gerung yang turut terlibat dengan kebangkitan itu, pada mulanya peristiwa itu hendak juga dipanggil revolusi. Tetapi oleh kerana konotasinya pada kekerasan, maka dipilih perkataan Reformasi yang dirasakan lembut. Namun sebenarnya apa yang berlaku itu tetap merupakan revolusi ketiga Indonesia, kali ini ke arah demokrasi.
Pada tahun 1990-an, saya mengikut perkembangan politik Indonesia melalui majalah-majalah mingguan mereka yang mudah diperoleh di Kuala Lumour ketika itu. Majalah-majalah itu ialah Tempo, Gatra, Editor, Forum Keadilan dan Detik.
Pada masa itu, tokoh muda yang muncul menjelang Reformasi ialah Budiman Sudjatmiko yang menubuhkan Parti Rakyat Demokratik (PRD) dengan manifesto berfahaman kiri. Gambar beliau disiarkan di kulit depan Tempo.
Selepas Reformasi, beliau menyertai Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDIP) pimpinan Megawati dan kemudiannya menjadi anggota parlimen. Sekitar tahun 2010-an, saya pernah berjumpa dengannya apabila beliau berkunjung ke Kuala Lumpur. Beliau menunjukkan statistik kekuatan PDIP.
Tetapi dalam pilihan raya umum 2024 ini, saya terkejut apabila mengetahui bahawa beliau meninggalkan PDIP dan menjadi ketua strategi kempen bagi Prabowo Subianto dan regunya Gibran Rakabuming, anak Jokowi.
Prabowo, seorang bekas jenderal adalah sebahagian daripada legasi Suharto dan Orde Baru sedangkan Budiman adalah antara tokoh Reformasi. Tetapi walaupun Ganjar dan partinya, PDIP boleh dilihat sebagai penerus legasi Sukarno, Anies Baswedan dalam ucapan-ucapannya ternyata lebih mampu mengungkapkan idealisme Sukarno dan pejuang-pejuang kemerdekaan Indonesia, terutamanya mengenai pembelaan terhadap rakyat kebanyakan yang dalam keadaan amat memerlukan perubahan besar, malah bukan saja reformasi tetapi revolusi.
Walaupun bagaimana hebatnya Anies mengungkapkan program-program progresifnya, ditambah dengan keintelektualannya, pengundi pada 14 Februari akan menentukan hala baru Indonesia.
ZIN MAHMUD adalah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai