Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pahang beri kata dua buat kontraktor pembetungan Kuantan

Masalah jalan mendap dan laluan beralun di sekitar bandar raya Kuantan dijangka selesai pada penghujung April ini selepas kerajaan negeri mengarahkan kontraktor yang terbabit dalam projek pembetungan berpusat menyiapkan kerja berkenaan segera.

Projek berkenaan yang dilaksanakan syarikat Jalur Cahaya Sdn Bhd (Jalur Cahaya) bermula pada Feb 2018 dan sepatutnya siap pada tahun lalu.

Jalur Cahaya kemudian berjaya mendapatkan penangguhan tempoh penyerahan projek berikutan masalah luar jangka dihadapi mereka di tapak pembinaan.

Antaranya masalah aliran air bawah tanah yang menjadi punca utama berlaku mendapan tanah di beberapa lokasi.

Bagaimanapun, mesyuarat exco Pahang dua minggu lalu sudah membuat keputusan bahawa projek berkenaan perlu disiapkan sepenuhnya menjelang akhir April ini atau Jalur Cahaya akan dikenakan denda.

Exco Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Sim Chon Siang, berkata kegagalan menyiapkan projek berkenaan akan menyebabkan Jalur Cahaya didenda RM100,000 sehari.

"Lagi lambat siap, lebih banyak kerajaan Pahang boleh dapat duit. Jadi, saya harap mereka siapkan seperti dijadualkan.

"Ini projek sudah lama, sudah banyak tahun tapi masih belum siap lagi.

"Apa masalahnya, itu semua kena tanya kontraktor sebab kerajaan Pahang sentiasa pantau perkembangan projek ini," katanya kepada media selepas meninjau tapak projek itu di sekitar Lorong Seri Kuantan, dekat Jalan Teluk Sisek, hari ini.

Tinjauan itu turut disertai Pengurus Besar Jalur Cahaya, Razali Mohamed.

Menurut Sim, kerajaan negeri sering mendapat rungutan pengguna jalan raya yang mengeluh dengan keadaan laluan di kawasan berkneaan.

Katanya selain rungutan mengenai jalan rosak, mereka juga tidak selesa dengan keadaannya yang mendap.

"Kalau projek ini tak siap, masalah jalan akan berterusan," katanya.

Sementara itu Razali ketika ditanya media mengenai punca projek itu lewat disiapkan memberitahu, terdapat beberapa lokasi yang bermasalah akibat aliran bawah tanah yang terlalu laju.

"Untuk pembetungan, kami perlu gali antara 10 hingga 15 meter dan keadaan tanah di sekitar Kuantan ini memang ada aliran air bawah tanah.

"Apabila ada air, kerja terpaksa dihentikan kerana jika kita ganggu atau terus mengorek tanah itu, memang akan mengakibatkan mendapan lebih teruk.

"Tapi, kami akan pastikan semua boleh disiapkan April ini," katanya.

Dia turut memberi jaminan semua bangunan rosak atau struktur yang retak susulan kerja dilakukan Jalur Cahaya akan dibaiki dengan kos ditanggung oleh syarikat terbabit.

Projek pembetungan Kuantan yang bernilai RM570 juta itu dilaksanakan untuk meningkatkan taraf perkhidmatan pembetungan dan menambah baik kualiti alam sekitar.

Projek melalui Rancangan Malaysia ke-11 itu antara lain membabitkan pembinaan paip pembetungan sejauh kira-kira 60 kilometer yang akan membawa kepada penutupan 165 loji rawatan kumbahan kecil di beberapa kawasan perumahan.