Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Polis tanya 60 soalan, akan rampas komputer - Pua

Bekas ahli parlimen Damansara Tony Pua disoal siasat selama lebih sejam di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini susulan dia didakwa mempersoalkan keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Selepas merekodkan keterangannya, polis juga akan mengiringi Pua pulang untuk merampas komputer ribanya bagi tujuan siasatan.

Pua memasuki balai polis sekitar jam 1:10 petang dan keluar sekitar jam 2:30 petang.

Dia memberitahu media bahawa polis bertanyakan 60 soalan mengenai lima hantaran Facebook.

Menurut Pua, dia telah memberikan nama akaun Facebook dan kata laluan log masuknya kepada polis.

"Saya akan serahkan komputer riba saya nanti," katanya menjelaskan polis akan mengikutinya pulang untuk mendapatkan barang siasatan itu.

Pua diiringi beberapa pemimpin DAP di luar balai polis, termasuk pengerusi parti Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau.

Ketika diminta mengulas, Lim berkata dia hanya akan menyampaikan pandangannya melalui saluran dalaman parti.

Ditekan lebih lanjut jika kehadirannya untuk menyokong Pua, Lim menjawa "it's well aware" (sedar mengenai hal itu).

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke enggan menjawab kenyataan bekas ahli parlimen Bangi Ong Kian Ming hari ini.

Ong meminta kepimpinan DAP untuk menjelaskan pendiriannya mengenai skandal 1MDB, penyiasatan terhadap seorang lagi bekas ahli parlimen Tony Pua dan komitmen keseluruhan parti itu terhadap reformasi institusi.

Ketika hadir satu lagi majlis penyerahan peruntukan sekolah menengah swasta Cina di Kuala Lumpur pagi ini, menteri pengangkutan itu tidak mahu menjawab soalan lain yang tiada kaitan dengan acara tersebut.

"Hari ini kita hanya bercakap mengenai isu pendidikan, jika ada perkara lain, pengerusi kebangsaan DAP Lim Guan Eng akan berada di Bukit Aman.

"Soalan lain akan dijawab dalam sidang media lain," katanya.

[Baca berita penuh]