Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Ucapan menyayat hati ibu sempena hari graduasi Zayn Rayyan

Ibu kepada mangsa bunuh, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin berkongsi ucapan tahniah yang menyayat hati sempena hari graduasi anaknya.

"Tahniah! Selamat bergraduasi Zayn Rayyan. Mommy bangga dengan setiap pencapaian abang. Tak kira besar atau kecil mana pun pencapaian abang, mommy tetap bangga.

"Terima kasih kepada warga SK Damansara Damai (2) di atas jemputan ke majlis konvokesyen semalam (1 Februari). Ia akan menjadi kenangan yang indah buat kami sekeluarga," kata Ismanira Abdul Manaf di Instagram semalam.

"Mommy tak dapat nak bergambar bersama dengan abang macam ibu bapa yang lain, mommy dapat edit macam ni saja," katanya lagi, mengiringi imej dia bersama Allahyarham yang berpakaian jubah graduasi.

Menurut Ismanira, dia menghadiri majlis itu bersama suaminya dan seorang lagi anak lelakinya.

Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai. Pihak berkuasa kemudian memulakan usaha mencarinya dengan bantuan penduduk setempat.

Namun kanak-kanak itu gagal ditemukan menyebabkan polis melancarkan operasi mencari dari rumah ke rumah sehari kemudian.

Mayatnya kemudian ditemukan berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari rumah, kira-kira jam sepuluh malam pada hari itu.

Bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes bunuh.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata tiada perkembangan baru berkaitan siasatan pembunuhan tersebut.

Namun Shuhaily berkata pasukannya akan meneruskan siasatan, dengan lebih 200 individu telah diambil keterangan.