Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Hanya penyesalan Najib boleh selamatkan kerajaan dari kecaman

Keengganan Najib Razak menunjukkan penyesalan atas tindakan yang menyebabkan dia dipenjarakan akan meletakkan kerajaan di posisi dipersalahkan atas peranan mereka dalam proses pengampunan, kata seorang penganalisis politik.

Menurut Wong Chin Huat orang ramai akan mempersoalkan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melakukan pembaharuan ekoran keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam, serta menurunkan denda daripada RM210 juta menjadi RM50 juta.

Kata saintis politik itu apa pun penjelasan atau justifikasi dibuat kerajaan, ia tetap akan dipersalahkan kecuali Najib menunjukkan rasa kesan dan insaf dengan bersungguh-sungguh atas tindakannya sebelum ini.

"Anwar akan kehilangan kelayakan untuk menjadi seorang reformis," katanya kepada Malaysiakini.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini menamatkan tanda tanya pelbagai pihak terhadap status Najib Razak apabila mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya petang tadi.

Menurut JPM, lembaga yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong itu bersetuju agar jumlah tempoh pemenjaraan Najib disingkatkan daripada 12 tahun menjadi enam tahun.

Denda yang dikenakan kepada bekas perdana menteri itu juga diturunkan lebih daripada separuh. Dengan pengurangan hukuman itu, Najib akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.

Hantar isyarat yang salah

Ekoran kenyataan tersebut pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan menunjukkan rasa tidak puas hati, sama ada kerana Najib tidak mendapat pembebasan, atau kerana hukumannya dikurangkan.

Kata Wong di negara luar seperti Korea Selatan, empat orang presiden mereka dihantar ke penjara selepas disabitkan bersalah oleh mahkamah.

“Mereka semua menghabiskan masa beberapa tahun sebelum mendapat pengampunan.

"Sebelum diampunkan, mereka semua turut meminta maaf,” katanya.

Wong Chin Huat

Dalam kes Najib, menurut Wong, ahli politik itu tetap tidak menunjukkan rasa bersalah walaupun ia dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.

Bahkan, katanya, Najib kekal menampakkan dia percaya yang dia menjadi mangsa salah laku.

“Jika Najib tidak berubah ketika dia mendapat pengampunan, itu akan menghantar mesej yang sangat salah.

“Asas moral kerajaan Madani akan dipersoalkan kerana orang akan berkata: kerajaan ini ditubuhkan sedikit sebanyak hasil salah bicara terhadap Najib,” tambahnya.

Kredibiliti PM terjejas

Mengenai kekecewaan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, Wong berkata, desakan dibuat itu menjadikan keputusan Lembaga Pengampunan itu sebagai jenaka.

“Ia adalah satu tamparan di muka semua ahli Lembaga Pengampunan yang dilantik.

"Pada asasnya anda ada banduan yang tidak percaya dia telah melakukan apa-apa kesalahan, dan dia rasa dia berhak untuk mendapat pengurangan hukuman penjara dan angpow Tahun Baru Cina yang lumayan," kata Wong lagi.

Sependapat dengan Wong, pengarah firma perunding Vriens & Partners, Shazwan Mustafa Kamal, berkata perkembangan sekitar masa Najib di penjara sudah pasti akan memberi kesan kepada perjuangan reformis Anwar.

“Ini benar terutamanya dalam kalangan sekutu teras seperti DAP dan juga dalam PKR.

"Di seluruh media sosial, penyokong PH telah menunjukkan fakta bahawa beribu-ribu orang yang mengundi pada PRU lalu berbuat demikian untuk pembaharuan, namun perkembangan sedemikian akan menjejaskan kredibiliti Anwar," kata Shazwan kepada Malaysiakini.

Sementara itu, penganalisis bebas Asrul Hadi Abdullah Sani berkata keputusan lembaga pengampunan itu mungkin menenangkan segmen penyokong Najib dalam Umno, walaupun mereka mengharapkan pengampunan penuh dan pembebasan segera.

"Keputusan itu mungkin boleh menyatukan Umno, dan (Presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi pasti akan menggunakan peluang ini untuk meningkatkan sokongan daripada ahli yang tidak berpuas hati," katanya.

Pada masa yang sama, Asrul Hadi menyatakan Ahmad Zahid dan Anwar perlu menenangkan penyokong masing-masing secara berasingan.

"Pengampunan itu akan memberikan lebih banyak peluru kepada PH untuk dihalakan terhadap Anwar," katanya.

Untuk rekod, Najib masih dibicarakan untuk tuduhan jenayah lain, termasuk empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.