Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pencetak Harakah mohon mahkamah batal rayuan PAS

Bekas pencetak akbar rasmi PAS, Harakah memohon perintah Mahkamah Tinggi untuk membatalkan rayuan parti politik itu terhadap penghakiman ringkas yang dikaitkan dengan hutang RM656,000.

Bagaimanapun, PAS berhujah bahawa kekhilafan akibat kesilapan perkeranian itu "tidak mengaibkan, meremehkan atau menyusahkan" mana-mana pihak", justeru mereka meminta Mahkamah Tinggi meneruskan rayuan yang sepatutnya.

Pencetak NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Jan tahun ini.

Pada 5 Dis tahun lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan tawaran NAJ Press Resources untuk penghakiman ringkas (keputusan tanpa perbicaraan penuh), dan memerintahkan PAS serta dua yang lain membayar RM656,233.69 kepada pencetak itu. PAS memfailkan rayuan pada 14 Dis.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam PAS Mohd Faizi Che Abu mengesahkan pemfailan oleh perayu dan responden.

Menurut salinan permohonan NAJ yang difailkan pada 10 Jan, mereka mendakwa rayuan PAS adalah tidak sempurna kerana gagal disampaikan kepada mereka dalam tempoh 14 hari dari keputusan Mahkamah Sesyen.

Dalam afidavit itu, responden mendakwa mereka hanya diserahkan salinan notis rayuan oleh PAS pada 28 Dis, yang melebihi had 14 hari yang ditetapkan oleh Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

NAJ Press Resources mendakwa bahawa undang-undang mewajibkan PAS dan dua lagi perayu - setiausaha agung parti Takiyuddin Hassan dan penerbit Harakah Galeri Media Serbanika Sdn Bhd - menyerahkan salinan rayuan kepada responden selewat-lewatnya pada 19 Dis.

Responden berhujah bahawa penyampaian rayuan adalah tidak wajar, rosak dan dibuat di luar masa seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Bagaimanapun dalam afidavit jawapan yang difailkan pada 31 Jan, PAS dan dua lagi perayu membantah bahawa kekhilafan perkeranian itu tidak disengajakan dan tanpa niat untuk menghina mahkamah.

Perayu mendakwa bahawa kesilapan itu tidak menjejaskan NAJ Press Resources, menunjukkan bahawa responden sendiri tidak membangkitkan sebarang bantahan awal apabila rayuan disampaikan kepada mereka pada 28 Dis tahun lepas.

PAS dan dua yang lain berhujah bahawa syarikat pencetak itu menerima notis rayuan tanpa sebarang bantahan.

Mereka mengingatkan bahawa pencetak tidak prejudis kerana objektif notis rayuan adalah untuk memberitahu responden tentang rayuan tersebut dan mengelakkan sebarang unsur kejutan dalam perkara itu.

Perayu juga menyatakan bahawa mereka juga telah memfailkan permohonan berasingan untuk lanjutan masa bagi penyampaian notis rayuan.

Pada Ogos 2019, Malaysiakini melaporkan mengenai pertikaian hutang yang melibatkan Harakah dan dua pencetaknya pada masa itu - Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd dan NAJ Press Resources.

Angkatan Edaran telah diisytiharkan muflis. Bagaimanapun, pengurusan yang sama menubuhkan NAJ Press Resources sebagai pengganti dan terus mencetak Harakah ketika itu.

Firma guaman Putra Taulan & Faiq Azizan mewakili NAJ Press Resources.