Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

ULASAN l Pengampunan: Jangan untuk banduan kayangan sahaja

Berita utama semalam selayaknya adalah Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Tetapi nampaknya ia telah dicuri oleh khabar angin banduan VVIP Malaysia, Najib Razak, mendapat pengampunan separuh (partial pardon).

Tetapi sampai saat ini khabar angin itu tidak disahkan atau dinafikan. Khabar angin sekencang ini sepatutnya segera dimatikan dan, kalau betul, disahkan. Atau inikah standard ketelusan dan kecerdasan kerajaan hari ini?

Yang banyak melaporkan khabar angin ini adalah saluran-saluran berita luar negara, khususnya Singapura. Oleh sebab komunikasi rasmi Malaysia lembab, Singapura mencuri ribut taufan (stealing the thunder) daripada kita.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, pun sekadar boleh kata, tunggu Lembaga Pengampunan buat kenyataan.

Khabar angin yang dilaporkan oleh saluran-saluran berita luar negara itu berkata, Lembaga Pengampunan (Wilayah Persekutuan) yang bersidang pada Isnin 29 Januari telah memendekkan tempoh penjara penjenayah terhukum 1MDB itu daripada 12 tahun, yang dijatukhan oleh mahkamah, kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan.

Semua ini kononnya kerana banduan berkenaan "berkelakuan baik".

Mengikut laporan Channel News Asia (CNA) Singapura, keputusan itu telah dibuat oleh Lembaga Pengampunan yang diketuai oleh "Malaysia’s king" (Yang di-Pertuan Agong).

Pada 29 Januari, Yang di-Pertuan Agong Malaysia adalah Al-Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah. Anggota yang lain adalah Peguam Negara, Menteri bagi Wilayah Persekutuan dan maksimum tiga yang lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ditakdirkan khabar angin ini benar, terbuktilah sekali lagi yang negara kita ini adalah negara feudal untuk bidadari dan dewa dewi dari kayangan.

Tetapi kalau kerajaan yang ada hari ini memegang teguh prinsip-prinsip Madani (Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, Ihsan) ia wajib melayan semua banduan seperti ia melayan Najib.

Saya cadangkan, berkuatkuasa serta-merta semua banduan yang tidak dihukum mati atau penjara sepanjang hayat, "dinajibkan" hukuman mereka, yakni memotong tempoh pemenjaraan dan denda mereka secara sejagat.

Tidaklah adil jika orang kenamaan, berpangkat besar, berkekayaan besar dan membawa bala besar kepada rakyat jelata dikurangkan hukuman tetapi penjenayah totok yang mencuri roti kerana anak lapar dibiarkan reput.

Yang rugi serugi-ruginya akibat konspirasi pencurian duit 1MDB ini adalah rakyat jelata yang tidak dapat apa-apa. Mereka inilah yang menanggung kerugian mutakhir dan total.

Malah hasil kerajaan, termasuk cukai yang mereka bayar setiap hari, terpaksa digunakan untuk membayar hutang 1MDB sebanyak lebih RM50 bilion. “Makan dan pakai” penjenayah pun mereka juga yang kena tanggung.

Sudah jadi seakan-akan satu trend pula. Hari-hari terakhir peguam negara yang lalu (Idrus Harun), Ahmad Zahid Hamidi dapat DNAA (pembebasan tanpa pelepasan) ke atas 47 kes prima facie. Sekarang giliran Najib pula.

Tetapi saya tidak menolak kemungkinan terdapat faktor mitigasi lain bagi melayakkan hukuman penjara Najib ini dipendekkan. Contohnya dia menderita penyakit terminal. Wallahuaklam, itu kita tidak tahu. Atau konspirasi untuk menghidupkan semula kerjaya politiknya dalam jangka masa terdekat.

Jangan ketawa. Di Malaysia ini macam-macam jadi!


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.