KOMENTAR | Wilayah cemar bahasa, budaya
KOMENTAR | Saya menerima mesej daripada ejen pelancong yang mendakwa mereka mempunyai kaitan dengan sebuah agensi kerajaan: “Jika anda terbeban dengan kesesakan dan kehidupan mencabar di Kuala Lumpur, anda tidak perlu ke luar negara. Memadai meneroka keunikan KL”.
Ejen berkenaan memakluman lawatan ke 99 Wonderland Park yang dikatakan sebagai "landskap sangat cantik dengan Magical Bridge, Broadwalk, 2 Colourful Water Fountains, Golden Waterfall, 12 zodiac Walkway dan Sky Fountain with Koi Fish."
Generasi sebaya saya mungkin asing dengan tempat-tempat berkenaan walaupun sudah puluhan tahun menetap atau mencari rezeki di Kuala Lumpur.
Sejak puluhan tahun kami kenal Pertama Complex, Sungei Wang, Bukit Bintang Plaza, Tugu Negara, Dayabumi dan Pasar Budaya.
Nama-nama tempat baru bukan saja amat asing bahkan terasa aneh. Selain 99 Wonderland Park, di Kuala Lumpur juga ada Pavilion KL dan pancuran air Liuli Crystal yang didakwa tertinggi di Malaysia.
Ejen itu memberitahu: “Untuk pengalaman percutian atau keseronokan hujung minggu yang mustahil dapat dilupakan, anda boleh merancang untuk melawat Plane in the City. Di sini, anda berpeluang untuk merasai pengalaman ‘menaiki’ kapal terbang Boeing 737.”
Saya tidak teruja apabila mesej itu memberitahu untuk Dinner in the Sky Malaysia kerana bagi orang yang pernah berpengalaman membesar di kampung, menu nenek moyang seperti budu, rebung rebus, ikan jeruk, serunding, petai dan cencaluk lebih lazat berbanding apa yang dicanangkan tempat lima bintang itu.
Terpaksa menulis bahasa rojak
Lidah tidak terngiur dengan menu yang memang susah disebutkan.
Bacaan saya setakat ini sahaja: “Antara aktiviti yang boleh anda buat untuk mengepam adrenalin anda adalah seperti Sky Trail, The Maze, Power Station untuk mencuba wall climbing, roller glider untuk merasai pengalaman ber-flying fox, Go Pedal untuk bermain go kart, Pump Track untuk bermain basikal, skuter ataupun skateboard, launch pad untuk anda yang suka bermain trampolin tapi ini versi yang gempak punya, free fall, low ropes dan akhir sekali Tubby Ride…”
Bahasa rojak dan celaru itu menggambarkan betapa daifnya bahasa dan budaya di Kuala Lumpur yang kini 50 tahun menjadi Wilayah Persekutuan.
Adakah dalam tempoh setengah abad, Kuala Lumpur semakin longlai citra tempatan sehingga generasinya terpaksa menulis bahasa rojak yang tidak berpijak pada persekitaran Nusantara?
Tempoh masa antara 1 Feb 1974 sehingga 1 Feb 2024 terlalu banyak membezakan jati diri Kuala Lumpur dan Malaysia.
Jika dulu ibu kota lebih berusaha membina negara bangsa ekoran tragedi 13 Mei yang mengancam pelbagai sektor, kini generasi semasa lebih ghairah menggapai kemajuan ekonomi sehingga mengabaikan citra tempatan.
Bukan sahaja bangunan komersial dan pelancongan yang ghairah menggunakan bahasa asing, malah premis kediaman semakin tidak sanggup mendaulatkan bahasa Melayu untuk dua juta penduduknya.
The Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium, Casa Prima dan Park Avenue wujudnya bukan di New York, London atau Toronto.
Ia sebahagian daripada petempatan di Kuala Lumpur. Di pusat kota raya megah berdiri Menara KLCC atau lebih mesra disebut KL City Centre.
Sehingga kini tiada peruntukan undang-undang yang mengikat pemaju perumahan dan premis perdagangan menggunakan bahasa Melayu.
Sesiapa saja bebas melaksanakan projek pembinaan asalkan berkemampuan kewangan dan mendapat permit pembinaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Objektif hanya keuntungan
Tiada syarat khusus yang memaksa penggunaan bahasa Melayu pada setiap projek. Pemaju seakan-akan bebas melakukan apa sahaja bagi melariskan perniagaan mereka.
Dalam konteks pasaran kapitalis, matlamat pelaburan dan perniagaan adalah keuntungan. Tiada pengusaha yang mahukan kerugian.
Ada tanggapan penggunaan bahasa asing pada premis bangunan dan lokasi projek mempunyai nilai komersial yang tinggi. Bahasa Melayu dianggap lekeh.
Justeru, tidak menghairankan apabila pemaju berebut-rebut menggunakan bahasa asing seperti wujudnya Bangsar South menggantikan Kampung Kerinchi yang sejak ratusan tahun mewakili citra tempatan di Lembah Klang.
Jangan terperanjat jika Kampung Baru juga akan hilang namanya jika dibangunkan oleh pihak swasta yang matlamat mereka adalah keuntungan.
Pemaju tidak memikirkan soal kerugian kerana sifir kapitalis hanyalah laba yang maksimum.
Dalam konteks kehidupan hari ini, pemaju adalah kapitalis yang mahu menjana keuntungan sebanyak mungkin. Di belakang mereka biasanya orang politik yang menunggang kuasa.
Gabungan kedua-duanya adalah dasar matlamat menghalalkan cara sehingga berlaku pengabaian terhadap Bahasa Kebangsaan di Kuala Lumpur.
Pada era pentadbiran Ismail Sabri Yaakob ada ura-ura Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi kuasa untuk menilai serta menentukan penggunaan bahasa Melayu pada setiap projek pembangunan.
Bagaimanapun ia terbukti sekadar helah politik untuk melunakkan pengucapan awam.
Hari ini kita mungkin boleh berbangga dengan graf ekonomi dan tembok konkrit sebuah Wilayah Persekutuan dengan keluasan 94 batu persegl (243 km persegi).
Kuala Lumpur boleh berbangga dengan prasarana kelas pertama bertaraf dunia. Namun tidak bagi sebuah kota raya dengan dua juta penduduk dan entah berapa juta pendatang tanpa izin yang bernafas mencari rezeki di Lembah Klang.
Jika 50 tahun lalu warga asing dari Thailand dan Indonesia saja menggiatkan sektor ekonomi, hari ini bukan lagi aneh rakyat dari benua Afrika, Asia Tengah, India, Filipina, Bangladesh, Myanmar dan Pakistan bersesak di Kuala Lumpur.
Kepelbagaian kaum dan budaya mencetuskan bahasa rojak. Jika Bangkok dan Jakarta masih mendaulatkan bahasa pertiwi, generasi muda yang terjajah oleh media sosial semakin karut dengan bahasa yang entah dipancing dari mana.
Lebih malang radio dan televisyen menjadi penaja ungkapan seperti korang, kiter orang dan citer kononnya mesra pendengar dan penoton. Akhirnya bukan Kuala Lumpur sahaja kehilangan bahasa dan budaya, bahkan seluruh Malaysia.
Saya tidak salahkan ejen pelancongan yang menulis mesej berbahasa rojak. Saya salahkan semua pihak yang ghairah melacurkan bahasa Melayu yang kononnya tiada nilai tambah kewangan.
IMLAN ADABI ialah bekas wartawan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malayiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai