Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

463 mangsa banjir T'ganu di dua PPS

Jumlah mangsa banjir di Terengganu kekal 463 orang daripada 149 keluarga yang berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dungun setakat 8 malam ini, menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Tinjauan di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mendapati paras air beberapa sungai di Johor, Kedah, Pahang, Perlis dan Terengganu berada pada tahap bahaya setakat 8 malam ini.

Situasi itu melibatkan Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Pahang di Bera dan Cameron Highlands serta Sungai Rompin di Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis) dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

Nadma turut memaklumkan 17 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Boh di Cameron Highlands, Pahang; Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor; Jalan Raya Timur Barat Kupang-Gerik Jeli di Hulu Perak, Perak dan Jalan Sungai Sok - Chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan.

- Bernama