Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Pemimpin pembangkang Bangladesh bakal diusir imigresen

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menandatangani persetujuan untuk menghantar pulang pemimpin politik pembangkang Bangladesh, MA Quayum.

Arahan tersebut dibuat meskipun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan perintah penggantungan agar pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) berusia 63 tahun itu tidak dihantar pulang ke negara asalnya.

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, perintah pengusiran itu ditandatangani pada 24 Jan lalu iaitu enam hari selepas keputusan mahkamah tinggi dibuat.

Keluarga dan peguam Quayum pula hanya dimaklumkan mengenai arahan tersebut hari ini.

Tidak dapat dipastikan sama ada Quayum masih berada di negara ini atau sudah dihantar pulang.

Peguam yang mewakili Quayum, Kee Shu Min, memberitahu Malaysiakini lawatan terhadap anak guamnya itu hanya dijadualkan berlaku esok di pusat tahanan imigresen di Semenyih.

Sementara itu, peguam Edmund Bon berkata mereka juga akan menghantar notis kepada JIM untuk tidak mengusir Quayum.

Menurut Edmund, pengusiran itu jelas melanggar perintah mahkamah dan berkemungkinan besar menghina mahkamah.

Pasukan peguam ahli politik terbabit juga sudah menulis kepada mahkamah untuk membolehkan permohonan membebaskan dia didengar lebih awal.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 5 April depan untuk mendengar permohonan habeas corpus Quayum bagi mencabar penahanannya oleh JIM.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata Quayum ditahan dalam operasi bersama yang dijalankan oleh polis Malaysia dan Perisikan Keselamatan Negara (NSI) Bangladesh pada 12 Jan di kediamannya di Ampang.

Quayum kemudian ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan dirujuk ke Ibu Pejabat JIM di Putrajaya.

Quayum dilaporkan berada di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) sejak 2015. Dia juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Bagaimanapun, dokumen menunjukkan pas MM2H Quayum dibatalkan sehari selepas dia ditahan.

[Baca berita penuh]