Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pertuduhan terhadap Daim semalam mungkin bukan yang terakhir

Pertuduhan terhadap hartawan Daim Zainuddin kerana tidak patuh terhadap arahan mengisytiharkan harta mungkin bukan yang terakhir.

Ini susulan terdapat lagi siasatan terhadapnya berkaitan kesalahan lain iaitu salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata siasatan bagi dua jenis kesalahan itu tetap diteruskan walaupun Daim diheret ke mahkamah semalam.

Azam Baki

Menurut Scoop, siasatan terhadap Daim dibuat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 (salah guna kuasa untuk suapan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan. Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan. Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (pengubahan wang haram).

“Selepas pertuduhan semalam, yang dibuat bawah Section 36(1) Akta SPRM, siasatan kami terhadap Daim diteruskan untuk kes-kes yang lain,” katanya.

Daim semalam dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta merangkumi 38 syarikat, 25 unit hartanah, tujuh kenderaan mewah, serta dua akaun dana pelaburan.

Dia yang hadir berkerusi roda dan kini buta sebelah mata mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Dalam kenyataan selepas itu, orang kepercayaan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad itu, menyerang pentadbiran Anwar Ibrahim yang didakwa menekan pengkritik dengan pelbagai akta.

Dia juga turut menggesa orang ramai bangkit melawan Anwar dan “rejimnya” yang disifatkan sebagai musang berbulu ayam yang menurutnya gagal menunaikan janji-janji reformasi.

Saham Avillion jatuh lebih 8 peratus

Sementara itu, pertuduhan terhadap Daim semalam memberikan kesan kepada harga saham Avillion Bhd, yang sebahagian besar sahamnya dimiliki anak Daim, Dani.

Media melaporkan bahawa Avillion dan 23 anak syarikatnya antara harta yang disenaraikan sebagai tidak diisytiharkan oleh Daim dalam pertuduhan di mahkamah semalam.

Pada 10.30 pagi tadi, harga saham Avillion jatuh 0.05 sen (8.3 peratus) kepada 5.5 sen, meneruskan prestasi tidak menentu sejak mencapai kemuncak 78.5 sen pada 2011.

Avillion adalah syarikat pegangan pelaburan yang terlibat dalam perniagaan pelancongan, hotel dan hartanah.