Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Pakar: K'jaan perlu campur tangan kurangkan gula, garam dalam makanan

Presiden Malaysian Healthy Ageing Society (MHAS), Dr Shahrul Bahyah Kamaruzzaman, mahu kerajaan menetapkan peraturan berkaitan pengunaan gula dan garam dalam produk dan makanan yang dijual di restoran bagi mengurangkan penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, dan penyakit berkaitan lain.

"Saya berharap kerajaan mengambil pendekatan tegas terhadap isu-isu ini kerana terdapat bukti yang jelas mengenai kesan buruknya di Malaysia berkaitan obesiti di kalangan kanak-kanak, diabetes, kematian prmatang akibat penyakit jantung dan strok dalam kalangan golongan berusia pertengahan dan orang tua," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Shahrul Bahyah Kamaruzzaman

"Keperluan bagi populasi menua di Malaysia semakin meningkat, dan kita pada masa ini belum bersedia dari segi beban fizikal, sosial, dan ekonomi yang hadir bersamanya," katanya.

Dia berkata negara ini perlu melihat aspek kesihatan melalui pendekatan sepanjang hayat di mana setiap peluang untuk hidup sihat perlu diambil serius pada setiap peringkat umur.

"Reformasi kesihatan awam perlu bermula dengan pengawasan dan pelaksanaan dasar-dasar yang sedia ada yang sepatutnya bermula dengan makanan yang kita berikan kepada anak-anak kita kepada peraturan dan cukai ke atas gula, garam, rokok serta promosi aktif dan insentif terhadap gaya hidup sihat," kata Shahrul.

Sebagai seorang pakar geriatrik, Dr Shahrul kembali ke Malaysia pada tahun 2002 selepas menjalani latihan geriatrik di Cardiff, Wales, dan mengambil PhD dalam bidang Epidemiologi dan Kesihatan Populasi pada tahun 2010.

Katanya dia memilih bidang ini kerana geriatrik menghubungkan pasukan profesional penjagaan kesihatan daripada pelbagai disiplin.

"UK mempunyai masa yang lama untuk bersedia menghadapi populasi yang menua dan sistem penjagaan kesihatannya menyediakan rawatan yang lancar di pusat penjagaan kesihatan primer, sekunder, dan tersier untuk populasi mereka, bukan sahaja untuk golongan tua.

"Mereka melabur dalam penjagaan komuniti dan latihan semua profesional penjagaan kesihatan untuk menyediakan penjagaan dalam komuniti supaya orang ramai boleh menua dengan baik," tambahnya.

Menurut Shahrul, Malaysia perlu mengkaji persediaan untuk menghadapi populasi menua bukan sahaja melalui dasar yang dicadangkan untuk golongan tua tetapi juga dengan merancangnya secara strategik dalam semua kementerian.

[Baca berita penuh]