Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Permohonan Hindraf ketepi pembatalan pendaftaran ditolak

Pasukan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) gagal dalam usaha undang-undang untuk mengenepikan pembatalan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal hari ini menolak permohonan semakan kehakiman kumpulan itu yang menyasarkan keputusan ketua pengarah ROS untuk membatalkan pendaftarannya pada 30 Sept 2019.

Hakim Amarjeet Singh menolak permohonan Hindraf, yang juga menyasarkan keputusan menteri dalam negeri pada 7 Ogos 2020 mengekalkan pembatalan pendaftaran oleh ROS.

Ketika dihubungi, peguam Annou Xavier dan peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin mengesahkan perkara itu.

Xavier mewakili Hindraf manakala Liew mewakili ROS dan menteri, yang merupakan responden dalam perkara itu.

Tiada alasan diberikan untuk keputusan hari ini, tetapi ia akan diberikan dalam alasan penuh penghakiman kemudian, terutamanya jika Hindraf ingin merayu kepada Mahkamah Rayuan.

Pada 22 Dis 2020, Hindraf memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Organisasi hak asasi manusia itu bertindak melalui pemegang jawatannya, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan negara dan kesejahteraan sosial P Waytha Moorthy.

Hindraf mencabar kesahihan dua keputusan, masing-masing oleh ketua pengarah ROS dan menteri berkenaan, berhubung pembatalan pendaftaran pertubuhan itu.

Hindraf mendakwa ketua pengarah ROS telah memohon untuk membatalkan pendaftaran kumpulan itu kerana didakwa melanggar Akta Pertubuhan 1966.

Kumpulan itu mendakwa bahawa ia kemudiannya menjawab melalui surat kepada ketua pengarah ROS pada 26 dan 30 Sept 2019, yang berusaha untuk memberikan bukti supaya pembatalan pendaftaran tidak dilakukan.

Ia mendakwa, meskipun sudah memberi jawapan, ketua pengarah ROS pada 30 Sept tahun yang sama mengeluarkan surat untuk membatalkan pendaftaran pertubuhan itu.

Hindraf mendakwa ia kemudian menghantar surat bertarikh 24 Okt 2019, kepada menteri untuk merayu terhadap keputusan ketua pengarah ROS itu.

Kumpulan itu mendakwa menteri itu, pada 7 Ogos 2020, memaklumkan Hindraf bahawa rayuan itu ditolak dan keputusan untuk membatalkan pendaftaran dikekalkan.

Hindraf memohon perintah mahkamah untuk memaksa ketua pengarah ROS dan menteri membatalkan keputusan mereka dan mendaftar semula kumpulan itu, berkuat kuasa mulai 30 Sept 2019.

Ia juga memohon pengisytiharan bahawa kedua-dua keputusan untuk membatalkan pendaftaran NGO itu adalah menyalahi undang-undang dan dengan itu terbatal dan tidak sah; dan perintah untuk menggantung sementara kedua-dua keputusan, sementara menunggu pelupusan permohonan semakan kehakiman.

Ia juga menuntut kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Hindraf menjadi tumpuan media berikutan perhimpunannya di Kuala Lumpur pada 2017 yang cuba menyorot dasar yang disifatkan diskriminasi.