Banjir kilat: Kaji dalamkan sungai di Pekan Sungai Lembing, titah Agong
Pelaksanaan projek tebatan banjir semata-mata tidak dapat menjamin pekan Sungai Lembing, dekat Kuantan, Pahang tidak akan dilanda banjir kilat pada masa akan datang.
Sebaliknya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ahmad Shah bertitah, kajian lebih serius dan terperinci perlu dilakukan terutamanya keperluan mendalamkan sungai di sekitar pekan itu.
"Tahun demi tahun, bulan demi bulan... kalau hujan lebat bukan saja menunggu musim tengkujuh tetapi kadang-kala pada bulan yang elok, hujan yang lebat, banjir akan berlaku di sini.
"Mungkin sudah sampai masanya kena kaji tengok sungai kita, keadaan sungai kita ini... infrastruktur yang ada di sini, jalan nak sampai ke sini sudah pun mendap dan sungai mungkin dah cetek.
"Cari kaedah supaya banjir ini dapat kita atasi, kaji dengan lebih serius dan terperinci.
"Ada kalanya juga walaupun ada tebatan banjir, sungai di Sungai Kenau ini perlu didalamkan. Percayalah, tak guna ada tebatan banjir tapi air dapat melimpah juga sampai ke bandar Sungai Lembing," titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika menyantuni penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lembing, dekat Kuantan, hari ini.
Hadir mengiringi baginda, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Sultan Abdullah dalam masa yang sama berkongsi pengalaman dan kaedah digunakan di daerah Pekan sebelum ini bagi mengurangkan kesan banjir di daerah terbabit.
"Saya kongsi sedikit pengetahuan, masa di Pekan kita dah mendalamkan sungai, Alhamdulillah kesan banjir dapat kita kurangkan dan mudah-mudahan dapat diusahakan di sini juga.
"Kena dalamkan sungai untuk pastikan tebatan itu berkesan dalam mengawal kesan banjir.
"Saya akan terus meninjau kawasan ini kerana Sungai Lembing ini terlalu dekat di hati saya," titahnya lagi.
Sebelum ini, ahli parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah memaklumkan projek tebatan banjir dianggarkan bernilai RM100 juta sedang dibina bagi mengurangkan kesan banjir di pekan Sungai Lembing.
Mohd Shahar berkata, projek yang diluluskan kerajaan Persekutuan itu menggunakan konsep reka dan bina dan sudah dilaksanakan Nov lalu.
Projek itu dijangka siap dalam masa 36 bulan.
Pekan Sungai Lembing dikenali sebagai pekan yang terkenal dengan kegiatan perlombongan bijih timah kedua terbesar di dunia sejak 1887 hingga 1986.
Jabatan Warisan Negara pada Okt lalu dilaporkan sedang menyiapkan dokumentasi Sungai Lembing untuk mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai tapak warisan dunia.
Buat masa ini, terdapat dua tapak warisan dunia diiktiraf Unesco terdapat di negara ini, iaitu di Georgetown, Pulau Pinang dan Melaka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai