Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Mokhzani Mahathir pula dipanggil SPRM

Seorang lagi anak Dr Mahathir Mohamad, Mokhzani turut dipanggil SPRM.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada Berita Harian, hari ini.

Menurut laporan itu, Mokhzani hadir ke ibu pejabat SPRM kira-kira jam 11 pagi tadi dan dipercayai berhubung pengisytiharan harta.

Dia disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), menurut laporan itu lagi.

Menurut Sinar Harian pula, Mokhzani disiasat berhubung kaitan pegangan sahamnya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dikatakan mendapat lesen fabrikasi struktur cari gali sebuah syarikat gergasi petroleum negara ketika bapanya menjadi perdana menteri.

Terdahulu, abang kepada Mokhzani, Mirzan yang merupakan ahli perniagaan diberi notis daripada SPRM untuk mengisytiharkan hartanya dalam tempoh 30 hari, pada 18 Januari lalu.

Dia turut hadir ke ibu pejabat SPRM pada hari yang sama.

Dia disiasat berhubung maklumat dalam Kertas Panama, juga di bawah Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA.

Sehari kemudian, Mahathir dalam hantaran di media sosial menempelak kerajaan yang menurutnya melakukan "kezaliman terhadap musuh politik" dan mendakwa anaknya diugut akan dipenjara lima tahun jika mengambil tindakan yang dianggap "bertentangan dengan dakwaan".

Dalam sidang media khas pada 22 Januari lalu pula, dia menyifatkan notis itu sebagai tidak masuk akal kerana Mirzan perlu menjelaskan sumber aset yang diperolehinya sejak 42 tahun lalu dalam tempoh yang singkat.