Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Sanusi: MP sokong PM sebab dibiar 'kelaparan'

Pemimpin PAS menyifatkan peralihan sokongan Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi kepada perdana menteri berlaku kerana pemimpin Bersatu itu dibiar 'kelaparan'.

Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor berkata dia berharap Zulkafperi adalah pemimpin PN terakhir yang membuat sokongan itu.

"Perkara sebegini berlaku sebab dia dibiar 'kelaparan' sehingga berlaku tekanan di kawasan. Orang tuntut macam-macam tapi dia tak ada kemampuan jadi bila dia letih, terpaksalah (bertukar sokongan).

"Saya harap itu yang terakhirlah. Orang pun taklah gila semua atas dunia ni dah jadi wakil rakyat tak ada bajet, jadi tekanan kat dia," katanya dipetik seperti Sinar Harian, hari ini.

Menteri besar Kedah itu berkata demikian sebagai mengulas tindakan Zulkafperi (gambar atas) yang mengisytihar sokongan kepada Anwar, semalam.

Zulkafperi berkata pengisytiharan sokongan itu dibuat tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak.

"Saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjung Karang," katanya.

Sementara itu mengulas lanjut Sanusi berkata dia sendiri sudah terbiasa menjadi wakil rakyat yang susah.

"Jadi wakil rakyat ini kena bersedia untuk susah, bersedia untuk derita.

“Kalau bahagia Alhamdulillah, kalau derita sudah disiapi," katanya dipetik sebagai berkata.

Sanusi turut berharap tiada lagi pemimpin lain daripada PN yang mengambil langkah sedemikian.