Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Empat jajahan di Kelantan dijangka banjir

Empat jajahan di Kelantan iaitu Gua Musang, Pasir, Puteh, Kuala Krai dan Pasir Mas dijangka dilanda banjir secara berperingkat bermula pukul 10 pagi ini hingga esok.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memaklumkan ramalan awal banjir dikeluarkan susulan amaran hujan berterusan tahap buruk oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

"Jajahan Pasir Puteh yang dijangka mengalami banjir adalah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Kampung Bukit Awang, Kampung Gong Chokoh, Kampung Gong Sepulih dan Kampung Gong Pasir.

"Di Gua Musang pula ia melibatkan kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Kampung Kesedar Lebir, Felda Aring 5, Kampung Batu Papan 2, Kampung Paloh 3 dan Felda Chiku 3," menurut kenyataan itu.

Bagi jajahan Kuala Krai, kawasan terlibat adalah kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer sekitar Kampung Kuala Nal, Kampung Bedal, Kampung Aur Duri, Kampung Batu Lada, Kampung Manek Urai, Kg Mesek, Kampung Temiang, Kampung Manjor, Kampung Budi, Kampung Pasir Jering dan Kampung Kebun Pisang.

Sementara itu, di Pasir Mas pula ia melibatkan kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer sekitar Kampung Bujuk, Kampung Tok Uban, Kampung Chasi dan Kampung Baru.

Menurut kenyataan itu lagi, amaran yang dikeluarkan ini bertujuan membolehkan semua penduduk terutama di kawasan rendah berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.

- Bernama