Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kebakaran: Lelaki maut lepas selamatkan tujuh sekeluarga

Tindakan berani seorang lelaki menyelamatkan jirannya yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Merinding di Labuan awal pagi tadi, mengundang hiba apabila dia meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap.

Gillian Donald, 41, (gambar judul) sempat menyelamatkan tujuh sekeluarga termasuk kanak-kanak dan seorang warga emas dengan menggunakan tangga sebelum dirinya rebah.

Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata Donald dipercayai terhidu asap berlebihan ketika berusaha membawa keluar jirannya itu daripada api yang marak.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Labuan dua jam selepas kejadian,” katanya hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kebakaran berpunca dari tempat letak kereta di garaj rumah terbabit dan merebak ke dalam rumah ketika penghuninya sedang nyenyak tidur pada 4 pagi.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan menerima panggilan pada 4.06 pagi, lalu mengerahkan jentera dan pasukan ke lokasi kejadian.

- Bernama