Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Hakim kes 1MDB: Saya tak boleh arah media nak tulis apa

KES 1MDB | Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata dia tidak boleh mengarahkan wartawan tentang cara mereka melaporkan perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.27 bilion terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Hakim Collin Lawrence Sequerah sebaliknya menasihatkan mungkin media boleh memasukkan intipati utama apa yang berlaku semasa perbicaraan jenayah, termasuk sebarang bantahan yang dibangkitkan oleh pasukan pembelaan tertuduh berhubung keterangan saksi pendakwaan.

Hakim itu menjawab aduan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah bahawa sebuah portal berita dalam talian didakwa melaporkan secara berat sebelah keterangan saksi ke-49 pendakwaan, pegawai penyiasat SPRM Nur Aida Arifin.

Shafee mendakwa artikel berita itu tidak menyatakan sebarang bantahan pasukan pembelaan yang dibangkitkan di mahkamah berhubung keterangan Nur Aida dan dia memohon perintah (gag) melarang bersuara mengenai laporan media berhubung keterangannya yang dipertikaikan.

Jelasnya, ini kerana terdapat banyak bahagian keterangan saksi yang didakwa pasukan pembelaan sebagai khabar angin dan sekadar pendapat semata-mata.

Apabila Sequerah meminta jawapan pihak pendakwaan berhubung permohonan Shafee, timbalan pendakwa raya berkata dia tiada apa-apa yang hendak disuarakan mengenai perkara itu.

"Saya tidak boleh mengarahkan bagaimana cara (media) menyampaikan laporan mereka, itu adalah hak mereka.

"Apa yang boleh saya katakan ialah mengenai perkara yang berlaku dalam perbicaraan, mungkin laporan itu sepatutnya menyatakan perkara ini telah dikatakan (oleh saksi pendakwaan) tetapi bantahan (oleh peguam Najib) telah diambil (direkodkan oleh mahkamah) atas alasan khabar angin," kata Sequerah menasihati media.

Prosiding di hadapan Hakim Sequerah disambung semula pada hari Jumaat minggu ini.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB, sebuah syarikat pelaburan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

[Baca berita asal]