Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Fahmi: Dr M 'lapar perhatian', tak perlu layan dia lagi

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil hari ini menggesa semua pihak untuk tidak lagi melayan Dr Mahathir Mohamad, dan menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai 'lapar perhatian'.

Ia susulan dakwaan Mahathir semalam bahawa semakin ramai orang Melayu bunuh diri, malah ada yang membunuh ibu bapa, ekoran peningkatan kos sara hidup.

Fahmi berkata dia bingung dari mana Mahathir mendapat data berhubung dakwaan itu.

"Mungkin dia pakai 'ilmu' lain. Sukar untuk saya jawab secara fakta ilmu apa yang dia pakai. Saya rasa dia ini 'lapar perhatian' (attention seeker)," sindirnya dalam sidang media hari ini.

"Saya tak fikir kita patut layan (Mahathir) lagi.

"Kita hormat beliau (jadi) kita beri ruang kepadanya di penghujung usianya...Mungkin dia rasa dirinya tertekan," katanya lagi.

Mahathir membuat dakwaan itu ketika himpunan “Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara” semalam.

Dia mendakwa kadar bunuh diri di kalangan masyarakat Melayu akibat peningkatan kos sara hidup dan ekonomi yang merosot semakin membimbangkan.

“Tujuh belas orang, orang Melayu yang bunuh diri.

"Ada yang membunuh mak, yang bunuh ibu bapa kerana hilang punca dan tertekan sangat-sangat,” dakwanya.

Mahathir tidak mengemukakan sebarang bukti atau statistik namun dia dan penganjur himpunan dipercayai mengambil maklumat daripada laporan Bernama berhubung kes bunuh diri di Kelantan.

Laporan itu, yang turut dipetik dalam memorandum kepada Istana Negara, menyatakan sebanyak 17 kes terjun jambatan disyaki ada kaitan dengan cubaan membunuh diri direkodkan di Kelantan sejak 2021.

Nasihat tuanku kepada jemaah menteri

Sementara itu, Fahmi turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah menghantar pesanan kepada kabinet menerusi Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, Sultan Abdullah antara lain memetik peringatan cendekiawan Islam, Imam Al-Ghazali yang pemimpin negara perlu berkhidmat kepada rakyat dan tidak menyalahgunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan.

"Dalam warkah tersebut, tuanku telah menitahkan nasihat dan sepotong ayat nukilan Imam Al-Ghazali...izinkan saya baca sedikit.

"Sebenarnya kerosakan rakyat disebabkan kerosakan pemimpinnya, dan kerosakan pemimpin kerana kerosakan (golongan) ulama, dan kerosakan ulama kerana cintakan harta dan kedudukan.

"Itulah titah disampaikan tuanku pekada jemaah menteri, supaya kami berkhidmat untuk rakyat dan bukan (mengejar) kedudukan dan harta peribadi," katanya lagi.