Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Najib tidak benar dana AS$2.7 billion 1MDB dibawa pulang

BICARA 1MDB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak membenarkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman daripada membawa pulang AS$2.7 bilion, dana yang dikumpul 1MDB melalui terbitan bon pada 2013.

Menurut penguasa kanan SPRM, Nur Aida Arifin, susulan surat makluman daripada ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho (Jho Low), Najib yang juga adalah menteri kewangan ketika itu menolak permintaan Hazem Abdul Rahman untuk membawa pulang dana berkenaan.

Hazem Abdul Rahman

Menurut saksi pendakwaan ke-49 itu semasa perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.27 bilion membabitkan Najib, hari ini, Nur Aida berkata bahawa Hazem ketika itu adalah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan ahli lembaga pengarah salah satu unit dana itu, tidak mempunyai akses kepada dana daripada terbitan bon tersebut.

“Hazem Rahman telah beberapa kali memohon Najib (yang ketika itu adalah menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB) untuk membawa pulang dana untuk keperluan 1MDB, namun Jho Low mengeluarkan arahan bahawa dana tersebut tidak boleh dibawa pulang kerana ia adalah sebagai dana pilihan raya umum Umno.

“Hazem Rahman telah memaklumkan perkara ini kepada Azlin (Alias, yang pernah menjadi setiausaha sulit kanan Najib) dan pengerusi 1MDB (ketika itu) Lodin (Wok Kamaruddin) untuk memaklumkan perkara ini kepada Najib.

Hazem Abdul Rahman

"Bagaimanapun, Najib tidak membenarkan dana itu dibawa pulang, dan tiada alasan yang jelas diberikan," kata Nur Aida.

Ketika itu, peguam bela Tania Scivetti mencelah dan membantah keterangan Nur Aida, dengan menyatakan bahawa ia adalah sekadar khabar angin.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah merekodkan bantahan itu, dan membenarkan Nur Aida menyambung semula keterangannya. Prosiding kemudian disambung petang ini.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak membenarkan dana US$3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Switzerland, dibawa pulang ke Malaysia pada 2013.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin, 37, berkata perkara itu diberitahu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman.

"Mohd Hazem selaku Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB Global Investment Ltd (1MDB-GIL) tidak mempunyai akses dan kawalan ke atas dana yang diterbitkan daripada bon ini.

Hazem telah beberapa kali membuat permintaan kepada Najib untuk membawa pulang dana ini bagi membiayai keperluan 1MDB, namun Low Taek Jho  atau Jho Low  menyampaikan arahan bahawa dana ini tidak boleh dibawa pulang kerana ia untuk kegunaan dana pilihan raya Umno," katanya.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya setebal 95 muka surat, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Saksi menambah, Hazem pernah memaklumkan perkara ini (dana) kepada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias dan Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin untuk memanjangkan kepada Najib.

"Walau bagaimanapun, Najib tidak membenarkan dana ini dibawa pulang, dan tiada sebab yang jelas diberikan," katanya.

Saksi itu juga berkata bahawa pada 19 Mac 2013, wang terbitan nota US$3 billion itu telah dimuktamadkan dan dipindahkan ke dalam akaun 1MDB-GIL di BSI SA, Lugano Switzerland dengan jumlah US$2,721,000.00.

Jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun yang dinyatakan adalah kurang daripada jumlah sebenar setelah ditolak caj-caj perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak Goldman Sachs. Akaun itu telah dibuka di BSI Lugano pada 11 Mac 2013.

Beliau berkata, pada 13 Mac 2013, Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Najib telah bersetuju supaya kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengeluarkan surat sokongan terhadap terbitan dana US$3 billion oleh 1MDB.

"Pada keesokan hari (14 Mac 2013), Najib selaku Menteri Kewangan telah menandatangani surat sokongan kepada 1MDB untuk pinjaman berjumlah US$3 billion  dengan Goldman Sachs bagi mengadakan perjanjian usahasama dengan pihak Aabar PJS," katanya.

Terdahulu, keterangan saksi berhubung dana US$3 bilion di Switzerland dibantah peguam Tania Schivetti yang mewakili Najib dengan alasan ia adalah hanya "dengar cakap". 

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengambil kira bantahan yang dikemukakan pihak pembelaan. Perbicaraan sedang berlangsung.