Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pejabat Premier S'wak: Tiada mesyuarat khas bincang pelantikan TYT baru

Pejabat Premier Sarawak menafikan terdapat perbincangan mengenai pelantikan Yang Dipertua Negeri baru dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menurut kenyataan Pejabat Premier Sarawak semalam, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan media yang menyatakan bahawa terdapat mesyuarat khas bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Berhubung perkara tersebut, pejabat ini ingin menjelaskan bahawa tidak ada sebarang mesyuarat untuk tujuan sedemikian,” menurut kenyataan itu.

Dua hari lalu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelantikan Yang Dipertua Negeri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baru-baru ini, dilaporkan Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melepaskan jawatannya dan sedang bersiap sedia untuk menyandang jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud.

Abdul Taib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh pada 1 Mac 2014, bagi menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

-Bernama