Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

DLP: Menteri perlu nyatakan pendirian jelas, kata Khairy

Khairy Jamaluddin menggesa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk menyatakan pendirian dengan jelas berhubung program dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) di sekolah, di tengah dasar itu kembali menjadi perhatian.

Khairy mendakwa ini kerana mungkin ada tanggapan bahawa Fadhlina lebih cenderung ke arah pihak yang tidak setuju dengan program itu.

"Saya harap kementerian dapat menjelaskan hala tuju dengan jelas. Ibu bapa perlu tahu sekolah mana yang melaksanakan DLP.

"Mungkin ada tanggapan bahawa menteri (Fadhlina)...dilihat lebih condong kepada pihak yang mempertahankan bahasa Melayu kerana bapanya (Allahyarham Siddiq Fadzil) adalah seorang pejuang bahasa kebangsaan.

"Jadi, saya rasa menteri dan Kementerian Pendidikan beri satu keputusan yang jelas, yang dinantikan oleh ibu bapa," katanya dalam podcast Keluar Sekejap semalam.

Fadhlina Sidek

Program DLP dimulakan pada 2015 di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak, tidak lama selepas pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris.

Ia bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa ini, panduan pelaksanaan DLP menyatakan sekolah yang melaksanakannya harus mempunyai sumber pengajaran yang mencukupi, persediaan dibuat oleh pengetua atau guru besar, mendapat persetujuan ibu bapa dan prestasi sekolah dalam tahap penguasaan bahasa Melayu mencapai standard purata kebangsaan.

Bagaimanapun, sejak tahun lalu, sekolah yang melaksanakan DLP diperlukan untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu kelas bukan DLP kepada murid yang mahu belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing.

Ia menimbulkan perasaan kurang senang sejumlah pihak, termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page).

Page menganggotai jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengkaji peralihan daripada PPSMI kepada DLP.

Pada 21 Dis lalu, Fadhlina mempertahankan arahan baru tersebut dengan menyatakan lawatan di lapangan menunjukkan sesetengah pelajar di sekolah yang melaksanakan DLP tidak menguasai kemahiran asas Bahasa Melayu atau bahasa ibunda mereka.

"Sekolah yang bersetuju untuk melaksanakan DLP wajib memastikan semua kriteria dipenuhi, termasuklah penguasaan Bahasa Melayu.

"Pada masa yang sama, penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy yang berada dalam pentadbiran Najib berkata dia menyokong pelaksanaan DLP pada masa itu dan menyifatkannya sebagai "program sentris yang klasik (lazim)".

"DLP adalah 'program sentris klasik' di mana ia tak terlalu ekstrem seperti PPSMI dan tidak terlalu memuaskan pihak yang mempertahankan bahasa Melayu.

"Dalam konteks ini, Najib tampil dengan satu penyelesaian sempurna," tambah bekas menteri itu.

Khairy turut menolak dakwaan bahawa DLP hanya popular di sekolah di kawasan bandar.

"Antara sekolah yang melaksanakan DLP adalah SK Jasin (Melaka), SK Merlimau (Melaka) dan SK Taman Sri Rembau (Negeri Sembilan).

"Jadi, tidak adillah jika kita kata permintaan hanya dari kalangan masyarakat seperti Bangsar sahaja kerana ada permintaan untuk DLP di tempat-tempat seperti itu."

Dimensi politik

Shahril Hamdan pula berpandangan ada dimensi politik dalam isu-isu melibatkan DLP.

Dia juga menyuarakan kekesalan terhadap tuduhan sesetengah pihak bahawa penyokong PPSMI atau DLP sebagai "tidak cukup Melayu".

Shahril Hamdan

"Masalahnya ialah jika kita mencadangkan sesuatu yang berasaskan pragmatisme dan praktikal, identiti Melayu kita akan dipersoalkan dan malah dituduh tidak setia kepada negara," katanya.

Justeru, dia menyeru Kementerian Pendidikan untuk kekal dengan garis panduan awal DLP - di mana masyarakat setempat menentukan sama ada mereka mahu ia dilaksanakan atau tidak.

"Jika anda dari Bukit Damansara dan keluarga anda mahukan DLP, kemungkinan besar guru-guru di sana boleh melakukannya.

"Tapi jika buat di kawasan luar bandar di mana permintaannya kurang, jelas ia tidak akan berjaya.

"Dalam apa situasi sekalipun, kita mesti faham bahawa bahasa Melayu sentiasa menjadi bahasa kebangsaan," katanya lagi.