Nasi bungkus RM3.50: Jual murah pun kena marah
Macam-macam ragam manusia. Biasanya, peniaga akan kena marah jika menjual sesuatu dengan harga yang mahal.
Tetapi bagi seorang peniaga nasi bungkus tepi jalan di Kota Damansara, Sungai Buloh, Selangor, lain pula yang berlaku apabila dia ditegur kerana menjual makanan dengan harga yang murah.
Peniaga ‘nasi bajet’ Nurul Hashima Abu Aris, 43, mendedahkan dia baru-baru ini dimarahi pelanggan kerana menjual nasi berlauk dengan harga hanya RM3.50 sebungkus.
Katanya, pelanggan itu berkata tindakannya itu menutup rezeki peniaga lain.
“Awak ini nak tutup periuk rezeki orang yang jual nasi lain ke?
“Kalau awak jual harga begini, macam mana peniaga lain nak hidup?” kata lelaki itu, yang dicerikan kembali di X.
Bagaimanapun katanya dia tidak memberikan komen apa-apa dan hanya menawarkan sebungkus nasi secara percuma.
“Dia ambil sahaja nasi yang saya bagi percuma itu.
“Agaknya dia segan sebab kebetulan ada pelanggan lain singgah beli,” katanya kepada Malaysiakini.
“Saya pun tidak tahu apa motif dia bercakap sebegitu. Dia tidak marah, cuma nada itu kasar,” sambungnya lagi.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai mempunyai pandangan berbeza.
“Tahun lepas ada yang minta akak naikkan 50sen, sebab katanya rugi jual murah.
“(Bagaimanapun) kejadian lain pula, minta turunkan 50sen, sebab katanya mahal,” katanya semasa dihubungi Malaysiakini semalam.
Apabila ditanya mengenai keuntungan, Nurul Hashima menjawab dia masih mampu membayar kos pendidikan anak.
“Alhamdulillah, mampu bayar yuran pengajian anak di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk setiap semester,” katanya.
‘Akak pun pernah susah’
Sementara itu, ditanya mengapa dia masih meneruskan harga jualan pada RM3.50 sebungkus, Nurul Hashima berkata bahawa dulu dia juga pernah hidup susah.
"Saya pernah hidup susah, faham sangat. Pernah catu makanan, berpuasa sebab tak ada duit nak makan siang.
“Jadi, kita tolong semula orang lain dengan harga murah supaya tak bebankan mereka," katanya.
Sejak kira-kira tiga tahun lepas, setiap hari bekerja, Nurul Hashima menjual 200 bungkus nasi pelbagai jenis lauk bermula pukul empat petang sehingga habis.
Nasi bungkus itu mempunya pilihan lauk ayam kicap, ayam masak merah, ayam kari, sambal udang dan sambal ikan tongkol.
Semua makanannya dijual dengan harga RM3.50 sebungkus. Dia juga tidak pernah menaikkan harga jualannya sejak berniaga.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai