Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Walau dianggap jenaka, Ara komited agih deodoran pada pelajar

Baru-baru ini, seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) tular di media sosial apabila ingin membangkitkan masalah bau badan pelajar dalam manifesto pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Menerusi poster kempennya, Siti Nur Asyerra Wasli berkata dia akan mengagihkan deodoran kepada pelajar yang mempunyai masalah bau badan.

Hasrat itu mengundang perhatian ramai dengan kebanyakannya menganggap ia sebagai jenaka namun bagi Siti Nur Asyerra, dia memang komited untuk membantu pelajar yang memerlukannya.

Pelajar tahun tiga jurusan pemasaran yang lebih senang dipanggil Ara itu berkata dia sangat memahami keadaan rakan-rakannya yang sentiasa berdepan masalah untuk menjaga kebersihan diri, ekoran masalah bekalan air di kampus.

“Orang yang mempunyai masalah bau badan sepatutnya dibantu,” katanya semasa dihubungi Malaysiakini.

Masalah bekalan air yang dihadapi pelajar UMS sejak 2021 menjadi perhatian baru-baru ini apabila sejumlah pelajar membuat protes ketika kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir awal bulan ini.

Kedatangan Zambry ketika itu disambut pelajar dengan lagu dengan lirik antara lain berbunyi "kami belum mandi".

Ketika itu, dia mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada pihak universiti bagi menyelesaikan masalah itu, selain RM3 juta yang telah diperuntukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu.

Menceritakan pengalamannya, Ara berkata dia tidak berdepan masalah itu kerana tinggal di luar kampus namun rakan-rakannya yang tinggal di kolej kediaman sering mengadu berkenaan masalah itu kepadanya.

“Seminggu boleh jadi hampir setiap hari tiada air. Ada juga dalam sehari, ada jam tertentu sahaja yang ada air, itu pun tidak menentu. Tapi sekarang masih ada air.

“Sokongan saya terhadap pelajar UMS yang berjuang menuntut ilmu walaupun sering dilanda masalah ini," katanya lagi.

Sedang cari penaja

Dia juga sedar ada segelintir pelajar yang menganggapnya membuat lawak namun dia memang berharap dapat membantu mewujudkan persekitaran yang selesa di UMS.

“Ada yang menyokong, ada juga yang memandang serong. Ada juga yang berasa lucu seperti saya membuat lawak.

“Tetapi ada yang bersetuju kerana pernah mempunyai pengalaman yang sama," sambungnya.

Pemilihan dibuat beberapa hari lalu dan Ara merupakan antara pemenang kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan dan dia kini giat mencari penaja yang boleh membekalkan deodoran yang dijanjikan.

“Saya fokus mencari penaja untuk beri bekalan yang banyak. Setakat ini sudah berhubung dengan beberapa pihak.

“Saya akan membuat pengagihan secara sendiri dan percuma kepada semua, tidak terikat kepada yang ada masalah saja. Saya juga merancang untuk memberinya secara berkala dan akan membuat makluman nanti," katanya lagi.