Gerakan akan desak PN kecam kenyataan Mahathir
Gerakan akan membangkitkan isu kenyataan kontroversi terbaru Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat PN yang diadakan pada minggu ini.
Presidennya Dominic Lau berkata sebagai seorang negarawan sagat tidak wajar Mahathir mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan kaum lain.
Katanya sebelum ini pun pernah bertemu dengan Mahathir untuk menyatakan rasa kesal mereka terhadap kenyataan dibuat semasa kempen Pilihan Raya Kecil Pulai pada tahun lalu.
Kata Lau ketika itu Mahathir menyatakan parti politik yang dipimpin oleh orang bukan Melayu adalah parti pendatang.
Senator terbabit juga mahu kerajaan menasihatkan bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu agar berhenti daripada terus menanam sentimen yang membeza-bezakan kaum kerana ia mungkin merosakkan semangat Bangsa Malaysia yang dibina sebelum ini.
Menganggap kenyataan itu sebagai "sangat memalukan" Lau berkata tidak sepatutnya ia dikeluarkan oleh seorang tokoh yang pernah membawa agenda Wawasan 2020.
"Malaysia adalah sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum dan kepelbagaian tersebutlah menjadi tunjang keteguhan negara yang bertuah ini.
“Apa yang menyedihkan, bekas perdana menteri itu dalam temu bualnya berkata orang bukan Melayu telah ‘compensated well’ atas sumbang mereka.
"Bolehkah kita ‘memberi pampasan’ kepada rakyat kita sendiri?" katanya dalam kenyataan hari ini.
Tak guna dabik dada
Mahathir menarik perhatian ramai baru-baru ini ekoran temu bual yang dilakukanya dengan stesen TV satelit India, Thanthi TV.
Dia yang dilantik sebagai penasihat kepada empat kerajaan negeri pimpinan PN itu secara terbuka menganggap rakyat Malaysia yang bukan Melayu tidak mempunyai kesetiaan penuh kepada negara ini.
Mahathir juga menuding jari kepada "pendatang" yang dianggapnya terus mengamalkan budaya serta adat masing-masing meskipun sudah menjadi warganegara Malaysia.
Kata Lau, setiap ahli politik perlu keluar dari amalan politik yang cetek kerana tidak guna mereka mendabik dada mendiami negara yang pesat membangun ketika kepelbagaian dalam kalangan masyarakat diserang 'barah'.
“Rakyat Malaysia perlu bersatu menerima hakikat bahawa negara ini adalah negara yang dibina bersama atas landasan perpaduan.
“Benih persefahaman dan silatuhrahim yang kita tanam hari ini, suatu hari nanti akan mekar sebagai kemakmuran bersama,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya apakah Gerakan akan mendesak PN untuk mengecam kenyataan Mahathir, Lau memberitahu Malaysiakini: "Ya, kami akan membangkitkan isu ini dalam mesyuarat PN minggu ini."
Gerakan adalah satu daripada parti komponen PN selain PAS, Bersatu dan Parti Maju Sabah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai