Kebakaran rumah Ngeh: Lelaki ditahan negatif dadah, kata polis
Lelaki yang ditahan kerana disyaki melakukan khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham disahkan negatif dadah.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi Bernama berkata keputusan itu diperoleh hasil saringan air kencing terhadap lelaki berkenaan yang ditahan pada Jumaat lepas.
Pada Jumaat, Mohd Yusri dalam kenyataan berkata lelaki itu ditahan di kawasan Shah Alam, Selangor kira-kira empat pagi dan direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan.
Dia berkata polis turut merampas dua telefon bimbit dalam tangkapan tersebut dan semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Semalam, Mohd Yusri turut mengesahkan lelaki berusia 30-an itu bukan ahli mana-mana parti politik dan polis masih menyiasat motif kejadian.
Dalam kejadian awal pagi Rabu lepas, rumah Ngeh dipercayai dilontar dengan molotov cocktail menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta miliknya, manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai