Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Mahathir patut malu sembur 'bisa' pada kaum India - Bekas MP

Bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago kesal dengan kenyataan terbaru Dr Mahathir terhadap masyarakat India Malaysia.

Mahathir sepatutnya malu dengan dirinya sendiri kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian pada usia senjanya, bidas pemimpin DAP itu.

"Kaum India dan Cina telah menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan politik Malaysia. Dr Mahathir Mohamad harus malu dengan dirinya sendiri atas (kenyataan) 'bisa' (venom) tersebut.

“Tindakan mesti diambil ke atasnya kerana kenyataan yang memecahbelahkan itu berpotensi membahayakan masyarakat berbilang kaum ini,” kata Charles pada X, yang dahulu dikenali sebagai Twitter, hari ini.

Dia mengulas kenyataan Mahathir kepada saluran TV satelit India Thanthi TV bahawa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.

Mahathir berkata seseorang itu harus dikenali sebagai orang Melayu untuk berhak untuk menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

Charles berkata Mahathir sedar dia mencetuskan ketaksuban dan kebencian dengan kenyataan terbarunya, tetapi tidak mengambil berat tentang akibat daripada kata-katanya itu.

"Adakah dia bermati-matian cuba untuk kekal relevan? Terutama pada usia senjanya?

"Maka dia mesti tahu bahawa kita sudah muak dengan kata-kata kebenciannya. Malaysia bukan milik segelintir orang terpilih tetapi milik semua rakyat Malaysia.

"(Dengan kenyataan itu) Mahathir telah menghapuskan apa sahaja kebaikan yang dia lakukan untuk negara ini."