Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Mahkamah putuskan dua beradik beragama Hindu

Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan dua beradik tidak pernah beragama Islam, bertentangan dengan dakwaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bahawa kedua-dua mereka dilahirkan beragama Islam.

Pesuruhjaya kehakiman Choong Yeow Choy pada hari Isnin (8 Jan) membenarkan saman pemula oleh T Nivethah, 20, dan T Swetha, 19, untuk pengisytiharan bahawa agama mereka Hindu.

Ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, peguam dua beradik itu, Gurdial Singh Nijar mengesahkan tindakan undang-undang itu.

Ketua Pengarah JPN dan Mais - yang merupakan defendan - berhujah bahawa adik-beradik itu dilahirkan beragama Islam pada tahun 2003 dan 2004, dan kedua-duanya cuba meninggalkan Islam, yang akan menghalang mahkamah sivil Shah Alam daripada mendengar saman pemula.

Defendan-defendan bergantung kepada hujah bahawa undang-undang syariah Selangor menyatakan bahawa adik-beradik perempuan itu - yang dilahirkan di luar nikah kepada seorang bapa Hindu dan seorang ibu yang didakwa beragama Islam - dilahirkan sebagai Muslim berdasarkan kepercayaan ibu mereka.

Menurut salinan penghakiman, Mahkamah Tinggi tidak bersetuju dengan hujah defendan, menunjukkan bahawa ibu itu tidak pernah beragama Islam sejak awal.

Pesuruhjaya kehakiman berkata ini kerana ibu itu dilahirkan di luar nikah kepada nenek Islam dan datuk bukan Islam.

Pesuruhjaya kehakiman menegaskan bahawa ini menghalang pemakaian Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 berhubung dengan akidah dia beradik itu.

Choong menambah, situasi dan resolusi adik-beradik itu dilindungi oleh keputusan mahkamah tertinggi 2021 yang membabitkan Rosliza Ibrahim, yang diisytiharkan tidak pernah beragama Islam kerana dilahirkan di luar nikah kepada ibu bapa Islam dan bukan Islam.

Pesuruhjaya kehakiman juga memerintahkan defendan membayar kos RM10,000 kepada adik-beradik perempuan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, wakil undang-undang JPN dari Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata mereka belum mempunyai arahan sama ada untuk merayu ke Mahkamah Rayuan.

Firma guaman Tetuan Kamaruzaman Arif & Sofiah mewakili Mais.