Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Langkah Dubai: J-Kom semberono, kata penganalisis

Desas-desus mengenai Langkah Dubai, satu gerakan dikatakan mahu mengulingkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan terus mencetuskan tanda tanya.

Penganalisis politik Prof Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid (gambar bawah) berkata dia kesal dengan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Ismail Yusop mengenai cubaan menggulingkan kerajaan tanpa pembuktian.

“Pertama sekali bila kita melihat tindakan J-Kom sebagai sebuah agensi kerajaan dan berada di bawah bumbung Jabatan Perdana Menteri (JPM), saya rasa ramai akan bersetuju bahawa mengeluarkan kenyataan yang bersifat kenegaraan tanpa ada bukti yang jelas menimbulkan keraguan terhadap status dan wibawa kerajaan itu sendiri.

“Saya rasa ramai juga yang berfikir mengapa boleh keluarkan kenyataan bersifat kenegaraan tanpa ada bukti yang jelas," katanya kepada Malaysiakini.

Kartini yang juga timbalan pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mengulas ketidaktentuan politik yang dicetuskan akibat pendedahan Ismail itu.

"Jadi, ia bukan saja menimbulkan persoalan tentang integriti ataupun wibawa kerajaan, dalam era digital juga sukar untuk kita memberikan kenyataan tanpa pembuktian kerana tindakan ini akan membuka peluang yang besar terutama sekali untuk netizen menyelar dan mengkritik tanpa batas tindakan semberono ini," katanya lagi.

Akhir Disember lalu, Ismail berkata rancangan menggulingkan Anwar sebagai perdana menteri yang digelarnya sebagai ‘Langkah Dubai’ berlaku sewaktu percutian pemimpin PN termasuk beberapa pemimpin daripada parti kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Ismail mendakwa satu pertemuan diadakan semasa lawatan itu untuk memberikan tugas khusus kepada 'pegawai' yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli parlimen yang berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang dengan menerima sogokan.

J-Kom merupakan agensi yang dijenamakan semula daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang sebelum ini dikaitkan dengan siri propaganda kerajaan.

Bekas ketua pengarah Jasa, Mohd Puad Zarkashi (gambar atas) sebelum ini turut menyoal motif Ismail menimbulkan isu berkenaan yang disifatkannya sebagai “analisis cetek” sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil sikap defensif.

Mengulas lanjut, Kartini berkata setiap kenyataan yang dikeluarkan agensi penting kerajaan perlu dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor khususnya dari segi politik mahupun impak ekonomi.

"Seharusnya dalam keadaan ekonomi negara masih berdepan dalam tempoh pemulihan selepas pandemik dan Covid-19, kemudian kita lihat fasa-fasa inflasi.

"Kita lihat keadaan ini tidak akan membawa apa-apa kebaikan terutama sekali apa-apa saja langkah bersifat untuk menggugat kestabilan.

"Sekarang yang rakyat mahukan satu kestabilan yang kukuh bagi memulihkan pembangunan ekonomi, sektor pekerjaan baru, kesejahteraan masyarakat boleh diurus dengan baik. Kalaulah masih memainkan sentimen untuk menggugat kestabilan sedia ada, ianya tidak akan menguntungkan," katanya.

Menurut Kartini, pihak pembangkang juga telah menafikan apa-apa tindakan bersifat Langkah Dubai dan sebagainya.

"Jadi, bila tiada bukti, saya kira pendek kata maka J-Kom sebuah agensi kerajaan seharusnya lebih berhati-hati dalam menuturkan apa jua kenyataan.

"Ini penting memastikan bahawa J-Kom itu bersifat relevan, sebagai apparatus yang memperkasa hubungan komunikasi antara rakyat dan pemerintah," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Sosio Politik Universiti Malaya (UM) Abdul Muqit Muhammad (gambar atas) pula berpandangan bahawa J-kom kini dilihat sudah tersasar dari peranan dan fungsinya.

"Kalau kita buat perbandingan antara J-Kom dan institusi politik sebelum ini seperti contoh Jasa, mereka ini tidak bergerak seperti J-Kom isu yang direspon itu secara diperingkat lapangan tidak dibuat atas kapasiti Jasa itu sendiri, dan kita tidak melihat tidak tahu bagaimana Jasa berfungsi tapi yang kita tahu sebarang isu berkaitan propaganda politik itu akhirnya sampai ke pengetahuan rakyat tetapi tidak melalui Jasa secara rasmi.

"Jadi, itu yang pada saya satu persoalan yang perlu difikirkan dan kenapa banyak isu-isu sebelum ini dijawab juga atas kapasiti J-Kom. Jika sebelum ini kita lihat bekas ketua pengarah J-Kom Dr Mohammad Agus Yusof banyak keluarkan kenyataan untuk membela kerajaan.

Bagaimana J-Kom patut fungsi?

"Sebagai contoh dia keluarkan kenyataan secara rasmi sedangkan J-Kom pada saya dia tidak berfungsi secara begitu, dia lebih menyampaikan secara akar umbi, menyampaikan sesuatu isu secara lapangan dan kita pun tak tahu cara pergerakan mereka.

“Jadi, kalau berbalik kepada persoalan kenapa J-Kom perlu berbuat begitu pada saya itu persoalan pentadbiran itu sendiri, mereka tak tahu bagaimana J-Kom sepatutnya berfungsi," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Muqit berkata J-Kom sepatutnya mengambil pendirian atau pun bergerak secara berbeza dari Jabatan Penerangan Malaysia.

"Kalau ingin bergerak rasmi atas kapasiti institusi, itu kita boleh serahkan kepada Jabatan Penerangan bukan kepada J-Kom. Ini satu perkara yang perlu untuk difikirkan balik tentang J-Kom," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, susunan kepimpinan J-Kom berkemungkinan akan dirombak.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (gambar atas) pada satu sidang media mengakui kerajaan bercadang untuk mengambil langkah tersebut.

Ini juga selepas Puad menggesa agar agensi berkenaan yang dahulu diletakkan di bawah penyeliaan Pejabat Perdana Menteri dirombak secara menyeluruh.

Perkasa kerajaan

Sementara itu, Abdul Muqit berkata sekiranya J-Kom dirombak ia harus berfungsi secara lebih strategik.

"Pada saya J-Kom perlu melihat semula apakah bidang tugasan atau skop kerja J-Kom itu sendiri.

“Bukan soal pentadbiran, siapa yang menjadi ketua pengarah dan siapa menduduki kerusi kerusi J-KOM itu tapi soal gerak kerja dan itu sepatutnya jadi pertimbangan kalau betul J-Kom itu ingin memerlukan rombakan," katanya.

Kartini juga turut berkongsi pandangan yang sama, berkata menjadi tugas J-Kom sebagai agensi memperkasakan kerajaan yang memerintah.

"Apa yang paling penting keterikatan dia kepada masyarakat, dia seolah-olah mewakili suara pemimpin untuk disampaikan kepada masyarakat vice-versa masyarakat juga melalui J-Kom kepada pemimpin.

"Jadi, itu yang seharusnya J-Kom beri tumpuan dan fokus kepada ruang lingkup J-Kom sendiri iaitu term of reference ataupun peranan yang sedia ada dalam menghuraikan peranan dan fungsi J-Kom sendiri.

"(Ini) walaupun sekalipun ianya benar ia bukan dalam skop ruang lingkup kerja J-Kom, dia kena kembali fokus kepada bagaimana mengenengahkan isu kemaslahatan masyarakat dan bagaimana keberadaan masyarakat dalam usaha untuk menjambatani antara kerajaan dan masyarakat itu yang perlu diusahakan," kata Kartini lagi.

Ketika ini Anwar masih memimpin kerajaan seperti biasa walaupun khabar angin penukaran kerajaan terus bertiup kencang di kalangan penyokong pembangkang.

Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Noor pada 8 Jan terus mendakwa SD yang dikumpulkan pembangkang untuk merampas Putraya sudah cukup dan mereka hanya menunggu hari untuk mengumumkannya.

Bagaimanapun, Penganalisis Sosiopolitik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya Prof Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar bawah) percaya sebarang usaha untuk menukar kerajaan akan ternoktah menjelang 1 Februari depan.

"Tentulah idea-idea untuk menumbangkan kerajaan saya kira pasti akan berlaku dan berulang.

"Tetapi saya kira apabila selepas 1 Februari ini, Yang Dipertuan Agong yang baru dari Johor, saya kira baginda akan menoktahkan usaha-usaha tersebut dan mengarahkan fokus terhadap ekonomi dan pembangunan dan bukan cuba untuk tebuk atap dan sebagainya.

"Saya kira ketegasan ini yang dapat memberikan kesan yang besar agar tidak ada gangguan yang leceh dan remeh, tidak bertanggungjawab dari pihak pembangkang atau sekutu mereka," katanya.

Abdul Muqit pula menjelaskan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk tidak akan menerima menghadap sehingga baginda mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari depan juga boleh disifatkan sebagai amaran buat mana-mana pihak yang cuba menggerakkan usaha menggulingkan kerajaan sedia ada.

"Saya rasa selepas daripada kegagalan Langkah Dubai ini saya rasa parti-parti politik atau politikus sudahpun mula bersifat realistik dan juga lebih berhati-hati untuk menggerakkan gerakan yang sama terutamanya selepas ini kita akan ada YDPA daripada Johor.

"Yang mana kita lihat kenyataan-kenyataan bakal YDPA iaitu Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu sudah pun menunjukkan satu reaksi bagaimana sikap YDPA terhadap mana-mana pihak yang cuba menggoyahkan kerajaan yang sedia ada, pada saya itu satu kenyataann yang neutral sebenarnya daripada YDPA.

"Bukanlah bermaksud YDPA mencampuri urusan politik dan sebagainya tetapi kenyataan itu kenyataan bersifat harapan dan juga sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada PN sebab apabila kenyataan dikeluarkan bakal YDPA pada saya itu perlu menjadi pertimbangan yang lebih khusus daripada PN daripada pembangkang," tambahnya.