Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

PANDUANKINI | Merenung semula urusniaga Renong-UEM pada 1997

PANDUANKINI | Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita Menara Ilham yang terletak di tengah-tengah ibu negara bulan lalu, mungkin ramai yang membaca berita itu tidak pernah mendengar nama Renong Bhd.

Pada tahun 1997, syarikat itu terlibat dalam urusniaga kontroversi yang menggegarkan pasaran saham Malaysia ketika pelabur sudah mula gelisah akibat Krisis Kewangan Asia yang melanda pada masa itu.

Dilaporkan - walaupun tidak pernah disahkan secara rasmi - bahawa penyitaan bangunan itu dikaitkan dengan siasatan pengubahan wang haram dalam urusniaga antara Renong dan UEM Berhad, yang dikaitkan dengan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Dalam paparan Panduankini kali ini, kami meneliti laporan berita lama tentang bagaimana urusniaga itu berlaku.

Renong dan apa kaitannya dengan Daim?

Daim ialah rakan rapat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan sudah menjadi ahli perniagaan yang berjaya ketika menjadi bendahari agung Umno pada 1981 dan menteri kewangan pada 1984. Dari situ, Daim mengawal selia pengembangan aktiviti perniagaan parti.

Syarikat-syarikat berkaitan Umno ini termasuk United Engineers Malaysia (UEM) dengan projek infrastruktur meganya seperti Lebuhraya Utara-Selatan, dan Renong dengan perniagaan pembangunan hotel dan hartanahnya secara kecil-kecilan.

Apabila Umno dibatalkan pendaftarannya akibat pertelingkahan dan dicabar di mahkamah pada tahun 1988, perniagaannya dikendalikan oleh pemegang serah hak.

Pemegang serah hak ialah pegawai kerajaan yang memiliki peranan termasuk mengendalikan aset individu dan syarikat muflis yang menunggu proses likwidasi (pembubaran). Jawatan itu hari ini dikenali sebagai ketua pengarah insolvensi.

The Wall Street Journal melaporkan bahawa selepas Umno didaftarkan semula sebagai "Umno Baru" banyak perniagaan ini kemudiannya jatuh ke tangan kumpulan anak didik Daim yang sebelum itu menguruskannya sebagai pemegang saham nominee bagi 'Umno lama'.

Ini termasuk pemegang saham utama dan pengerusi Renong, Halim Saad, yang merupakan anak didik Daim.

Dia dilaporkan mengambil alih Renong daripada pemegang serah hak dan menyatukan perniagaan-perniagaan lain yang pernah dijalankan Umno di bawahnya. Ini dilakukan melalui beberapa siri urusniaga pada tahun 1990 bernilai RM1.23 bilion pada masa itu (kira-kira RM2.87 bilion hari ini).

Sejak itu, Daim dan penggantinya Anwar Ibrahim menafikan syarikat itu mempunyai kaitan lanjut dengan Umno.

Bernama memetik Daim sebagai berkata pada 1993 bahawa Umno tidak lagi terlibat dalam perniagaan sejak rampasan asetnya.

Pada 1997, Anwar memberitahu Dewan Rakyat atas kapasitinya sebagai menteri kewangan dan timbalan presiden Umno pada masa itu bahawa UEM dan Renong "tidak ada kaitan dengan Umno".

Halim pula menulis dalam surat terbuka pada Oktober 2022 untuk menafikan bahawa kedua-dua syarikat itu adalah milik Umno ketika perjanjian pada 1997. Menurutnya dia memperolehnya daripada pemegang serah hak menggunakan dana dan pinjamannya sendiri.

Namun begitu, selepas 1990, Renong dengan anak syarikatnya seperti UEM mula disifatkan sebagai "kesayangan" kepada para pelabur. Aliran berterusan kontrak kerajaan yang menguntungkan dan perjanjian penswastaan, serta hubungan politik (sama ada benar atau persepsi), menjadikannya sebagai pilihan yang kukuh di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Renong memiliki sembilan anak syarikat dengan memegang kepentingan termasuk konsesi tol, pembinaan dan kejuruteraan, pembangunan hartanah, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan minyak dan gas, menurut laporan WSJ.

Namun kemudiannya berlaku Krisis Kewangan Asia 1997 dengan segala pahit getirnya.

Bagaimana keadaannya pada tahun 1997?

Ketika Krisis Kewangan Asia melanda rantau ini, pasaran saham jatuh, mata wang Asia goyah, dan menjadi lebih sukar bagi syarikat untuk mendapatkan pembiayaan.

Dalam suasana ini, pelabur menjadi lebih berwaspada terhadap Renong yang sarat hutang dengan sebahagian projeknya memerlukan modal besar dan tempoh matang yang panjang sebelum boleh membawa pulangan, manakala had pinjaman baharu Bank Negara menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh menjejaskan jualan hartanah Renong .

Lebih memburukkan keadaan, WSJ melaporkan pada Jun 1997 bahawa pelabur bimbang rekod prestasi syarikat itu yang kukuh dalam melaksanakan projek bermakna kerajaan akan meminta Renong melaksanakan "khidmat negara" dengan menyelamatkan syarikat Malaysia yang mengalami kesulitan di tengah-tengah krisis itu.

Laporan itu berkata harga saham Renong jatuh daripada RM5.18 pada pertengahan Februari 1997 kepada RM3.04 pada pertengahan Mei tahun itu, sebelum stabil sekitar RM3.50 pada pertengahan 1997.

Bagaimana dengan perjanjian dengan UEM?

Renong mempunyai 38 peratus kepentingan dalam UEM.

Pada penutupan dagangan pada 17 Nov 1997, CIMB Bank (juga dikaitkan dengan Halim melalui pemilikan sebuah lagi entiti yang dulunya milik Umno, Fleet Group) mengumumkan bagi pihak UEM bahawa syarikat itu telah membeli 32.6 peratus kepentingan dalam syarikat induknya - yang dikatakan di pasaran terbuka - hampir dua minggu sebelumnya pada 5 Nov.

Urus niaga yang dibiayai secara pinjaman itu melibatkan pemindahan 722.9 juta saham pada harga purata RM3.24 sesaham, dengan jumlah RM2.34 bilion (bersamaan RM4.14 bilion hari ini). Ini mewakili premium melebihi harga RM2.90 saham Renong pada masa dagangan ditutup pada 17 Nov.

Pelabur dan penganalisis meragui kurangnya ketelusan dan pendedahan korporat yang menyelubungi perjanjian itu (UEM kemudiannya - dikenakan denda kerana gagal membuat pendedahan tepat pada masanya), yang mengakibatkan pemegang saham minoriti terlepas peluang untuk menjual saham mereka pada harga premium dan menyaksikan harga saham Renong mereka merosot apabila dagangan disambung semula pada hari berikutnya.

Urusniaga itu dilihat sebagai usaha menyelamatkan Renong dan Halim, sementara penganalisis meragui dakwaan bahawa saham itu dibeli di pasaran terbuka kerana, menurut International Herald Tribune, jumlah saham yang terlibat adalah bersamaan dengan empat bulan dagangan.

Selain itu kerajaan juga terpalit kontroversi apabila berdolak dalik mengenai penepian (waiver) yang seharusnya memaksa UEM untuk membuat tawaran awam ke atas 23 peratus saham Renong yang masih berada di tangan awam.

Halim menegaskan ia adalah transaksi perniagaan semata-mata. Dia menafikan menghadapi masalah hutang atau transaksi itu adalah untuk menyelamatkannya atau Renong, menurut laporan New Straits Times pada masa itu.

Dalam menafikan bahawa Renong berada dalam kesempitan kewangan yang teruk, dia dilaporkan memberitahu sidang akhbar pada 19 Nov 1997 bahawa Renong mengalami defisit RM4.13 bilion (di mana RM3.7 bilion adalah untuk pembiayaan projek) berbanding modal berbayar sebanyak RM3.3 bilion.

"Saya bersetuju bahawa Renong mempunyai perbelanjaan tinggi, lebih tinggi daripada syarikat biasa tetapi kami terutamanya dalam projek infrastruktur mempunyai tempoh kematangan yang panjang," katanya dipetik sebagai berkata.

Pengumuman UEM itu akhirnya menjejaskan lagi sentimen pelabur yang sudia lemah terhadap Renong dan syarikat berkaitan, serta Malaysia secara keseluruhan sebagai destinasi pelaburan.

Indeks komposit BSKL dilaporkan jatuh 45.20 mata kepada paras terendah empat tahun pada 622.09 mata pada hari selepas pengumuman itu, manakala saham Renong jatuh 59 sen kepada RM2.31. Nilai ringgit berbanding dolar AS jatuh kepada RM3.4050 berbanding RM3.330 sehari sebelumnya.

UEM (dan juga Renong) akhirnya diambil alih oleh kerajaan melalui cabang pelaburannya Khazanah Nasional pada tahun 2001. Pada masa itu, hutang Renong dilaporkan berjumlah RM13 bilion.

Halim menyaman kerajaan dengan mendakwa dia terpaksa melepaskan sahamnya tanpa pampasan yang mencukupi. Tuntutan itu masih dibicarakan ketika Panduakini ini disediakan.

Apa kaitan Daim dengan perkara ini, dan apa yang SPRM mahu daripadanya?

Tidak banyak yang diketahui umum tentang jenis siasatan, atau kesalahan yang didakwa sedang disiasat.

Seperti amalan biasa dengan siasatan yang sedang dijalankan, tidak banyak yang diperkatakan SPRM selain mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 23 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2021).

Undang-undang ini adalah berkaitan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram. SPRM memaklumkan telah memulakan siasatan pada Februari tahun lepas berikutan pendedahan daripada Kertas Pandora.

SPRM berkata pada 30 Dis tahun lepas ia telah mengeluarkan notis rasmi kepada Daim pada 7 Jun 2023 yang memaksanya mendedahkan semua asetnya dalam tempoh 30 hari, dan telah memberinya lima lanjutan untuk berbuat demikian.

Lanjutan terakhir adalah pada 14 Nov tahun lepas. Menara Ilham disita pada 18 Dis 2023, walaupun ia hanya diketahui umum pada 21 Dis.

SPRM tidak menyatakan siasatan berkisar pada perjanjian 1997 antara Renong dan UEM. Butiran itu sebaliknya datang daripada pelbagai laporan media yang memetik sumber tanpa nama.

Laporan itu mendakwa Daim merupakan dalang urusniaga itu, dan enggan mematuhi arahan untuk mendedahkan asetnya.

Daim menafikan sebarang salah laku dan mengecam siasatan terhadapnya sebagai "sasaran politik". Dia juga mendakwa ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah - secara bertulis - enggan memberitahunya mengenai siasatan itu.

Apakah Kertas Pandora?

Kertas Pandora merupakan sekumpulan 11.9 juta dokumen kewangan sulit dan rekod lain yang berasal daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus syarikat cengkerang dan amanah di tempat perlindungan cukai di seluruh dunia.

Sumber tanpa nama telah berkongsi 2.94 terabait data dengan Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa, yang seterusnya berkongsi dengan rakan kongsinya di seluruh dunia termasuk Malaysiakini.

Siasatan portal berita itu pada 2021 mendapati bahawa dalam rekod ini sahaja, anak, isteri atau rakan perniagaan Daim yang dikenali bersama-sama memegang aset bernilai sekurang-kurangnya £25 juta (kira-kira RM141 juta).

Daim menjawab laporan Malaysiakini dengan mengatakan tidak semua amanah yang disenaraikan dalam e-mel portal itu adalah miliknya. Namun pemegang amanah adalah sebahagian daripada "perancangan harta pusaka", segala urusan adalah sah dan semua cukai telah dibayar.

Individu terkemuka lain di Malaysia yang ditemui dalam siasatan termasuk Tengku Zafrul Aziz, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, bekas timbalan menteri kewangan Yamani Hafez Musa, Ahli Parlimen Selayang, William Leong, dan Mahmud Abu Bekir Abdul Taib yang merupakan anak kepada Gabenor Sarawak Abdul Taib Mahmud.

Perlu diingatkan bahawa memiliki entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, walaupun cara itu telah digunakan untuk menghindari atau mengelakkan cukai.

Secara sah ia dilakukan bagi privasi kewangan, melindungi aset daripada ketidakstabilan politik (atau perceraian yang penuh konflik), dan mengambil kesempatan daripada rejim cukai yang menguntungkan.

Pengkritik tempat perlindungan cukai luar pesisir berpendapat ia membawa kepada kehilangan hasil cukai bagi kerajaan.