Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Kumpulan wanita jumpa Jakim mohon semak fatwa pindah rahim

Sekumpulan wanita yang ingin membuat permohonan bagi menyemak fatwa berkaitan pendermaan dan pemindahan rahim di kalangan wanita Islam kini mendapat sinar baru.

Mereka adalah antara wanita yang dilahirkan tanpa rahim dan sebahagian tanpa vagina - keadaan yang jarang berlaku dan dikenali sebagai Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) - yang dihidapi satu dalam setiap 5,000 wanita.

Presiden MRKH Malaysia Nur Syazwani Abdul Rahim berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menjawab surat dihantar oleh sekumpulan pakar obstetrik dan ginekologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz UKM.

“Jakim perlu melalui prosedur untuk permintaan kami dan ia mengambil masa, InsyaAllah permohonan kami sedang dipertimbangkan,” kata penulis dan pensyarah itu kepada Malaysiakini.

Dalam suratnya sendiri kepada Jakim, bertarikh 13 Dis tahun lalu, Syazwani menceritakan perjalanan mereka - yang secara rasmi bermula pada 2014 - untuk mendapatkan semakan terhadap fatwa yang menyatakan pemindahan rahim "tidak harus" kerana ia bukan satu prosedur kecemasan.

"Pencarian penderma rahim yang sesuai dan rela juga akan mengambil masa yang lama, dan pencarian tidak boleh bermula tanpa kepastian sama ada prosedur itu akan dibenarkan atau sebaliknya," katanya.

Dalam catatan di Facebook semalam, Syazwani yang juga merupakan penyanyi dan penulis lagu yang lebih dikenali dengan nama pentasnya Wani Ardy berkata, dia akan membentangkan permohonan berkenaan kepada Jakim, bersama pakar obstetrik dan ginekologi (O&G) dari Hospital Canselor Tuanku Mukhriz UKM.

"Awal tahun 2023, setelah melakukan pelbagai kajian dan perbincangan secara menyeluruh, HCTM UKM menghantar permohonan kepada Jakim untuk menyemak semula fatwa mengenai hukum pendermaan dan pemindahan rahim," katanya.

Katanya, MRKH berkerjasama dengan doktor-doktor pakar sejak 2017, dan pasukan perubatan itu dilatih oleh pakar pembedahan pemindahan rahim Sweden, Mats Brannstrom, yang turut bertemu dengan persatuannya tahun lepas.

"Insya-Allah, 14 Februari ini doktor-doktor pakar O&G HCTM UKM dan saya mewakili MRKH Malaysia akan membentangkan permohonan kami kepada Jakim di Kompleks Islam Putrajaya.

"Dengan rendah diri saya katakan, saya perjuangkan isu ini bukan untuk diri saya. Saya sudah berusia 40 tahun dan ber-anak dua (walaupun bukan dari rahim saya kerana saya tidak punya rahim).

"Saya perjuangkan isu ini untuk masa depan adik-adik sindrom MRKH, serta gadis-gadis yang rahimnya rosak dan terpaksa dibuang agar mereka ada pilihan dan harapan dalam jihad menjadi seorang ibu," katanya.

Catatan Wani juga ditulis sebagai respons kepada bekas menteri hal ehwal agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pakar O&G ke arah mengkaji semula keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 2014.

"Saya berpandangan pandangan hukum tersebut boleh dikaji semula. Maktabah Al-Bakri telah menyiapkan kajian berhubung hal ini dan akan dimuat naik dalam masa terdekat. Pun begitu, ia tidak lengkap tanpa bantuan pakar O&G.

"Kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana pakar O&G untuk mendapatkan pandangan yang tuntas dalam isu ini," kata Zulkifli dalam catatan itu.

Pada tahun 2021, usaha Wani untuk meningkatkan kesedaran orang ramai telah membawa kepada peranannya sebagai penasihat skrip untuk drama televisyen tempatan yang menampilkan penghidap MRKH sebagai watak utama.

Tajuk "Rahimah Tanpa Rahim" mencetuskan perbualan mengenai MRKH, dengan sesetengah warganet mempersoalkan apakah "Rahim" adalah nama lelaki atau bermaksud rahim wanita.