Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Langkah Dubai: Tak dapat Raja Petra, polis panggil Papagomo, Chegubard

Polis akan memanggil anggota Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, aktivis Wan Muhammad Azri Wan Deris serta Salim Iskandar bagi membantu siasatan berkaitan usaha menjatuhkan kerajaan yang dikenali sebagai ‘Langkah Dubai’.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata suspek utama dalam kes itu ialah Raja Petra Kamarudin, namun pihak polis tidak dapat memanggil aktivis politik itu memandangkan dia kini berada di luar negara.

“Dia (Raja Petra) bercakap mengenai kejatuhan kerajaan selama lebih 10 hari.

“Mungkin kita tidak dapat Raja Petra kerana dia berada di Manchester tetapi kita mungkin memanggil Papagomo (Wan Azri), Chegubard (Badrul Hisham), dan Salim Iskandar. Ini kerana dia bercakap dalam TikTok live. Ini kita nak tahu,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, siasatan dibuka di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegentaran awam.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop, mendakwa wujud “Langkah Dubai” membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Meskipun perkara itu disangkal beberapa pemimpin Umno, namun presidennya, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan wujud gerakan untuk menjatuhkan kerajaan.

Minggu lepas, Raja Petra mendakwa seramai 120 Ahli Parlimen telah menandatangani akuan berkanun untuk menyokong kerajaan baru pimpinan PN.

Badrul, Wan Azri, dan Salim turut menyebarkan dakwaan itu di media sosial.

Mereka juga mendakwa usaha Anwar melawat Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN) minggu lepas, bertujuan untuk mengelakkan kerajaan tumbang.